Sia-sia arah peniaga Pasar Keramat pindah ke Keramat Mall - Johari
Wan Syamsul Amly
Februari 5, 2015 19:45 MYT
Februari 5, 2015 19:45 MYT
"Tiada sebab peniaga Melayu di Pasar Keramat hendak dipindahkan ke Keramat Mall."
Itu tegas Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Johari Abdul Ghani, lokasi baru iaitu Keramat Mall yang dicadang Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) disifatkan tidak sesuai dan hanya langkah merugikan untuk masa hadapan.
"Bagaimana DBKL boleh menyuruh mereka (peniaga Pasar Keramat) berpindah ke lokasi baharu yang tidak sesuai. Keramat Mall bukan tapak perniagaan barangan basah.
"Tidak ada gunanya menyiapkan lokasi khas untuk peniaga-peniaga ini di Keramat Mall jika mereka enggan berpindah," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Sepanduk besar membantah arahan pindah dipasang di hadapan Keramat Mall oleh peniaga Pasar Keramat - Gambar Astro AWANI
Arahan perpindahan itu difahamkan dikeluarkan DBKL dan Kementerian Wilayah Persekutuan baru-baru ini.
Dalam pada itu kata Johari, sejarah Pasar Keramat yang melebihi 40 tahun beroperasi dengan 100 peratus peniaga berbangsa Melayu menjadikan tapak itu satu lokasi unik di ibu kota.
"Mengapa tidak dibangunkan sahaja pasar ini menjadi pasar basah yang istimewa di tengah bandar.
"Konsep Pasar Keramat sangat unik dan dan melihat wajah baru di sana dengan mengekalkan konsep pasar basah adalah sesuatu yang sangat indah," jelasnya.
Ujar Johari lagi, pihaknya akan mengadakan sesi 'town hall' bersama peniaga dan DBKL bagi mencari jalan penyelesaian kemelut berkenaan.
"Saya bersedia untuk berjumpa kedua-dua pihak pada waktu sama dan berbincang isu ini untuk penyelesaian menang-menang," katanya.
Mogok dilakukan peniaga-peniaga Pasar Keramat yang membantah arahan pindah ke Keramat Mall oleh DBKL dan Kementerian Wilayah - Gambar Astro AWANI
Sementara itu, Pengerusi Persatuan Penjaja Pasar Keramat, Shoid Khee berkata, pihaknya membantah arahan pindah kerana lokasi baru perniagaan mereka yang berada di kawasan parkir Keramat Mall disifatkan sangat tidak strategik.
"Hendak pindahkan kita di 'bawah kolong' (parkir bawah) Keramat Mall selepas lebih 40 tahun kita bertapak di Pasar Keramat.
"Kita akui pernah berbincang dengan DBKL dua tahun dahulu namun sehingga kini tiada sebarang susulan dibuat...tahu-tahu kita diminta pindah," katanya.
Sementara itu, Astro AWANI masih belum mendapat apa-apa reaksi mengenai isu berkenaan daripada DBKL atau Kementerian Wilayah.