Si pemalu yang mahu jadi ahli bomba
Arfa Yunus
Januari 3, 2014 15:15 MYT
Januari 3, 2014 15:15 MYT
Apabila diajukan pertanyaan demi pertanyaan, anak yang berdahi luas dan mungil bibirnya itu menunjukkan perangai. Namanya Nurul Najwa Rusdi. Dia anak yang suka duduk di depan kamera tetapi akan hanya menundukkan mukanya ke lantai apabila lampu sorot dinyalakan kepadanya.
Apabila kamera dipadam, dia kembali riuh dan mula asyik bercakap tanpa henti. Apabila kamera mula mahu merakamnya semula, dia kembali diam tiba-tiba.
“Dia malu sebab kakak ada sini. Mungkin kakak boleh pusing belakang dan Najwa jadi berani depan kamera," kata Faezah, ibunya.
Saya pun berkalih membelakangkan dia.
“Mama, Aaron Aziz akan tengok saya tak di Astro AWANI?” Mata Najwa menyala dengan harapan mimpinya akan jadi nyata.
Hei, anak sepertinya boleh bermimpi, kan?
Saya bertemu anak kecil ini yang ketika itu akan melalui hari pertamanya ke sekolah. Ketika kali pertama berjumpa dengannya, saya terpaksa menunggu sampai 20 minit untuk akhirnya mendengar suaranya.
“Najwa seronok hendak masuk sekolah?” Tanya saya.
Sepi. Najwa hanya merenung ke arah kamera sementara ibunya cuba memberikan isyarat untuk dia berkata-kata.
“Amenda?” Kata dia sepatah dalam loghat Terengganu.
“Dia ini boleh cakap Terengganu. Ikut sebelah ayahnya,” kata Faezah sambil ketawa.
Pada Khamis itu, Najwa bangun awal; gembira hendak ke sekolah. Katanya, dia tidak sabar masuk sekolah dan berjumpa dengan kawan baiknya, Syuhada.
Pagi itu dia terlebih dahulu ke kelas agama belajar mengaji Al-Quran, kata ibunya.
Tengahari itu lebih kurang pukul 12.30 saya ke rumahnya dan bertanya kepadanya, “Sudah siap sedia untuk kamera?”
“Ya!” Jawabnya, penuh bertenaga.
“Najwa dah berlatih malam tadi, kan Najwa?" Dia menganggukkan kepada menjawab pertanyaan ibunya.
Dengan seragam sekolah yang baru dan rambut yang diikat seperti ekor kuda, Najwa melangkah mendekati motosikal ayahnya dengan beg Barbie disandang di belakangnya.
Pukul 1 tengahari, semua murid Tahun Satu Sekolah Kebangsaan Seksyen 24 Shah Alam berhimpun untuk satu sesi penerangan sebelum masuk ke kelas berjumpa guru masing-masing.
Najwa duduk di lantai. Dia bermain-main dengan jarinya dan sesekali mengangkatkan kepalanya ke arah kamera.
Sepanjang sesi penerangan itu, Najwa nampak tenang tetapi penat mungkin kerana hari panas.
“Saya tak bimbangkan Najwa sebab dia budak yang kuat dan berdikari. Saya tahu dia tak akan menangis sebab dia tahan lasak,” kata Faezah.
Tidak salah kalau anda berfikir anak ini mungkin akan mengantuk tengahari itu. Memang begitulah. Sekali imbas, dia nampak seperti memberikan perhatian kepada sesi penerangan itu tetapi sebenarnya dia terlelap!
“Okay, murid-murid. Bangun dan masuk ke kelas, jumpa cikgu baru," laung seorang guru, mungkin guru besarnya.
Najwa berdiri dan tanpa disangka-sangka dia melambai-lambai ke arah kamera dengan wajah tersenyum lebar. Dia bukan lagi anak tadi yang tersipu-sipu di depan kamera.
Dia kemudian melangkah menaiki tangga untuk ke bilik darjahnya di tingkat dua. Tidak seperti kebanyakan anak-anak lain yang berebut kerusi belakang, Najwa dan Syuhada meluru ke baris hadapan.
“Saya hendak jadi pandai. Itu sebab saya hendak duduk di depan," katanya kepada kamera. Tidak ada lagi sipu-sipu dan segan-silu itu.
Jam sudah pukul 2.30 petang; masanya untuk meninggalkan dia di kelasnya sampailah waktu rehat pada pukul 3.15 nanti.
“Ibu bapa boleh tunggu di kantin supaya anak-anak boleh beri perhatian di kelas. Kalau tidak nanti mereka rasa sedih tengok ibu bapa dari jauh," kata seorang cikgu. Seorang anak yang bertudung tiba-tiba meraung apabila ibunya mula beredar dari kelas itu.
Najwa melambai kepada ibunya sambil tersenyum.
Faezah duduk di kantin menunggu anaknya itu membeli makanan pertamanya di sekolah.
“Saya tunggu sampai waktu rehat dan datang balik pukul 6 petang nanti, nak dengar cerita dia tentang hari pertama masuk sekolah. Saya tahu dia ada banyak cerita sebab kalau tak ada kamera dia memang becok orangnya,” kata Faezah yang masih tersenyum biarpun hari agak berbahang.
Apabila besar nanti, Najwa hendak jadi ahli bomba dan mahu membahagiakan ibunya.
“Saya hendak jadi bomba! Saya mahu tolong orang. Saya hendak beli kereta untuk mama, lepas itu motosikal dan komputer kalau sudah cukup duit suatu hari nanti,” katanya.
Selepas habis sekolah, Najwa tidak sabar-sabar bercerita kepada ibunya tentang hari pertamanya di sekolah.
Dia bercerita tentang cikgu darjahnya yang baik kepada semua murid.
Dia bercerita tentang bagaimana mereka disuruh mewarna semasa kelas bahasa Arab.
Dia bercerita betapa gembiranya dia kerana kawan baiknya masuk kelas yang sama.
Dia bercerita tentang budak bertudung yang akhirnya berhenti menangis dan mula ambil bahagian di dalam kelas.
Dia bercerita bagaimana dia berkongsi cita-citanya hendak jadi ahli bomba dengan kawan-kawannya.
Dia bercerita kepada ibunya betapa dia tidak sabar hendak ke sekolah untuk hari yang kedua.
“Kenapa malu-malu depan kamera tadi?” Tanya Faezah kepada Najwa.
“Saya malu depan orang lain. Dengan mama, okay," katanya.
Dia akan ada banyak lagi cerita untuk dikongsi dengan ibunya sepanjang enam tahun akan datang, dan lima tahun kemudiannya apabila dia masuk sekolah menengah.
Ketika itu nanti, dia bukan lagi anak comel yang malu-malu di depan kamera tadi.
Dia tidak lagi akan bermain-main dengan jarinya kalau dia cemas.
Dia tidak lagi akan merenung lantai sebaliknya akan menegakkan kepalanya dengan penuh yakin.
Dia akan membesar jadi wanita yang berani dan berdikari serta memenuhi impiannya untuk jadi ahli bomba.