Shopee digesa beri maklum balas aduan perkhidmatan penghantarannya - MyCC
Bernama
Oktober 21, 2022 16:36 MYT
Oktober 21, 2022 16:36 MYT
KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) menggesa Shopee Mobile Malaysia Sdn Bhd (Shopee) memberikan justifikasi mengenai perlakuannya dan memberi penyelesaian terhadap aduan pelanggan dan peniaga berhubung perkhidmatan penghantarannya.
MyCC berkata, susulan aduan tersebut, pihaknya telah mengadakan perjumpaan dengan pengendali platform beli-belah dalam talian itu pada 19 Oktober.
Katanya syarikat itu turut diminta untuk menjelaskan bagaimana isu berkenaan akan ditangani secara dalaman tanpa menjejaskan kepentingan pengguna menjelang akhir bulan ini.
"Sehubungan itu, berikutan peningkatan aduan pengguna dan peniaga terhadap Shopee kerana tidak berpuas hati dengan perkhidmatannya, MyCC telah mengambil langkah aktif untuk mengadakan pertemuan dengan Shopee bagi mendalami isu itu," katanya dalam kenyataan hari ini.
MyCC berkata libat urus dengan Shopee turut diadakan untuk mendapatkan pemahaman yang lebih baik mengenai industri platform pasaran dalam talian dan industri logistik yang menawarkan perkhidmatan penghantaran kepada platform berkaitan.
MyCC berkata ia mengalu-alukan dan mengambil maklum inovasi yang dihasilkan oleh pemain industri yang telah meningkatkan pengalaman membeli-belah dalam talian secara drastik kepada seluruh rakyat Malaysia.
Bagaimanapun, katanya pihaknya percaya pemain industri perlu mengawasi tingkah laku masing-masing yang mungkin boleh menimbulkan sebarang isu persaingan dan menyebabkan kemudaratan kepada pengguna platform termasuk pengguna akhir dan peniaga.
Ketua Pegawai Eksekutif MyCC Iskandar Ismail berkata pihaknya akan meneruskan usaha untuk memantau rapat perlakuan pemain industri pada masa hadapan untuk menangani isu terkini dan persaingan berkaitan platform tersebut.
"Apa yang lebih penting, kami tidak akan teragak-agak untuk menggunakan kuasa penyiasatan dan penguatkuasaan kami terhadap mana-mana perusahaan yang disyaki melanggar perundangan persaingan," katanya.
-- BERNAMA