Shop Malaysia Online diumum tepat pada masanya - Alexander
Astro Awani
Jun 5, 2020 19:44 MYT
Jun 5, 2020 19:44 MYT
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menyambut baik pengumuman Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, mengenai kempen ‘Shop Malaysia Online’ pada Jumaat.
Menterinya, Datuk Alexander Nanta Linggi dalam satu kenyataan berkata, langkah yang diambil itu tepat pada masanya dalam usaha Malaysia memulihkan ekonomi rakyat dan negara yang terkesan disebabkan penularan COVID-19.
Menurutnya, Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang bermula pada 18 Mac lalu telah menyaksikan perubahan ketara trend pembelian barangan dalam kalangan pengguna.
“Ramai telah beralih dan beradaptasi dengan pembelian dalam talian dan peniaga juga mula meneroka aplikasi digital bagi memasarkan produk jualan mereka.
“Ini telah membuka platform yang lebih luas bagi perkembangan jual beli atas talian dan seterusnya merancakkan lagi ekonomi rakyat dan negara, selari dengan tema Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA), ‘Bersama Menjana Ekonomi’,” katanya.
Tambah beliau, ‘Shop Malaysia Online’ juga bertujuan menggalakkan rakyat berbelanja secara dalam talian dan menyediakan platform kepada usahawan tempatan untuk memasarkan produk mereka.
“Kod promosi dan pelbagai baucar diskaun akan diberikan melalui platform e-dagang untuk menarik penglibatan usahawan dalam talian serta pengguna untuk berbelanja,” ujarnya.
Tambah beliau, dengan peruntukan permulaan sebanyak RM70 juta, pasti ia dapat menghidupkan semula aktiviti perniagaan sekali gus membantu merangsang pemulihan ekonomi negara.
“KPDNHEP juga amat menghargai usaha kerajaan dalam menggalakkan rakyat menyokong produk dan perkhidmatan tempatan melalui kempen ‘Buy Malaysia’.
“Inisiatif ini selari dengan usaha KPDNHEP yang akan melancarkan kempen yang sama dalam masa terdekat bagi membantu peniaga tempatan menjana pendapatan melalui platform digital,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, Alexander turut menghargai keprihatinan kerajaan merangka dasar bagi menyokong pertumbuhan ekonomi ‘gig’ dan kebajikan pekerja dalam sektor berkenaan.
“Peruntukan sebanyak RM75 juta tentunya dapat membantu pemain industri yang terlibat di dalam sektor ekonomi ‘gig’ dan seterusnya melonjakkan lagi penggunaan teknologi dalam perniagaan.
“Ini tentunya dapat membantu usaha kementerian dalam mempromosikan perniagaan digital secara holisitik. Ia juga dapat memberi manfaat kepada pengguna dan peniaga dan seterusnya menghidupkan semula aktiviti ekonomi dalam menghadapi normal baharu,” ujarnya.
#E-dagang
#ekonomi
#kerajaan
#Malaysia
#menteri
#Muhyiddin Yassin
#peniaga
#Perdana Menteri
#perintah kawalan pergerakan
#PKP
#rakyat
#Shop Malaysia Online
#usahawan