SHMMP Tahun Baharu Cina: 276 penguat kuasa KPDN digerakkan di Selangor
Hasimi Muhamad
Februari 6, 2024 13:55 MYT
Februari 6, 2024 13:55 MYT
SERI KEMBANGAN: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Selangor menggerakkan seramai 276 penguat kuasa untuk melakukan pemantauan sepanjang pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Tahun Baru Cina 2024, yang bermula hari ini sehingga 14 Februari ini.
Exco Kemajuan Desa, Perpaduan dan Pengguna Selangor, Datuk Rizam Ismail berkata, pemeriksaan dilaksanakan secara berterusan di lokasi-lokasi strategik termasuk pasar awam, pasar tani dan pusat beli-belah.
Jelas beliau, sepanjang tempoh pelaksanaan SHMMP berkenaan, KPDN menggunakan Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP 2011), dengan tindakan tegas akan diambil jika berlaku ketidakpatuhan oleh mana-mana peniaga.
“Pemeriksaan dilakukan dalam tempoh sembilan hari iaitu empat hari sebelum perayaan, satu hari pada perayaan dan empat hari lagi selepas perayaan.
“Sebanyak enam cawangan (KPDN) dari seluruh Selangor akan terlibat,” katanya dalam sidang media selepas pemantauan di sebuah pasar raya di sini pada Selasa.
Hadir sama Pengarah KPDN Selangor, Mohd Zuhairi Mat Radey dan Ketua Pegawai Penguat Kuasa Negeri, Mohd Khairi Jamaludin.
Sementara itu, Mohd Zuhairi berkata KPDN Selangor turut giat menggunakan pendekatan ‘advoinspect’ sepanjang pemeriksaan di peringkat runcit dan borong.
Jelas beliau, pendekatan tersebut selari dengan konsep Rahmah dan ehsan, di mana advokasi akan diberikan ketika pemeriksaan pematuhan.
“Apabila kita mendapati ada berlaku salah tingkah laku dan kita beri nasihat dulu.
“Kita akan pastikan dia (peniaga) dapat maklumat yang sepatutnya,” katanya.
Dalam masa sama, Mohd Zuhairi berkata KPDN Selangor mengedarkan sebanyak 200 poster QR Code KPDN SPOT-i setiap hari bagi membolehkan para pengguna mendapatkan maklumat secara akses digital.
Sebanyak 11 jenis barangan diwartakan bagi pelaksanaan skim tersebut ialah udang putih, ikan bawal putih, babi hidup, daging babi (perut) dan daging babi (daging dan lemak).
Selain itu, turut disenaraikan ialah kobis bulat import, ubi kentang import, bawang putih, halia tua import, lobak putih import dan lobak merah.