'Shisha stick' bukan kaedah baru edar dadah - Polis
Hakim Rahman
Ogos 11, 2015 22:19 MYT
Ogos 11, 2015 22:19 MYT
Penggunaan 'shisha stick' yang menyamai rokok elektronik popular 'vape', bukan satu kaedah baru bagi penyeludupan dan pengedaran dadah jenis ganja di Malaysia.
Perkara itu dimaklumkan pihak polis berdasarkan hasil pemantauan dan perisikan dijalankan sebelum ini.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Datuk Sri Mohd Mokhtar Mohd Shariff berkata shisha berkenaan yang turut dikenali sebagai 'shisha pen' atau 'hookah pen' adalah kategori rokok elektronik, yang mempunyai fungsi sama seperti vapor atau vape.
"Shisha stick atau dikenali sebagai shisha pen atau hookah pen adalah kategori rokok elektronik dan mempunyai fungsi yang sama seperti vape.
"Bagaimanapun, tahap penggunaan shisha stick ini tidak popular berbanding vape memandangkan kandungan cecair perisa yang sedikit dan ia tidak memberi kepuasan kepada pengguna berbanding dengan menghisap vape," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
INFOGRAFIK: E-Rokok di Malaysia, fakta yang perlu anda tahu
Tambah Mokhtar juga sehingga kini, tiada undang-undang berkaitan larangan penggunaan 'shisha stick'.
Pihak polis juga katanya akan bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan, Kementerian Dalam Negeri Koperasi dan Kepengunaan (KPDNKK) untuk melakukan pemantauan khusus berkaitan penyalahgunaan bahan terlarang dapat dibanteras di kalangan pelajar dan orang ramai.