Sheila Majid, Fathia Latiff dan kebebasan bersuara
Irwan Muhammad Zain
Disember 8, 2017 19:42 MYT
Disember 8, 2017 19:42 MYT
SEHARI dua ini, ketika Perhimpunan Agung UMNO 2017 (PAU2017) sedang berlangsung, perbincangan umum bukan hanya tentang UMNO dan perhimpunannya, tetapi banyak yang bercerita tentang kenyataan Ratu Jazz negara, Datuk Sheila Majid tentang ekonomi negara menerusi laman twitternya.
Apa yang ditulis Sheila kemudiannya tular dan menjadi sensasi. Ramai yang menyokong Sheila namun bukan sedikit yang mengecam penyanyi lagu Sinaran ini.
“Makanan mahal, ringgit lemah, kos sara hidup tinggi & pekerjaan sukar didapati. Rakyat Malaysia semakin letih & marah kerana dihimpit hutang yang bukan kita cipta. Cukuplah beralasan & cari kesalahan. Tumpu pada tugas meletakkan negara kembali ke landasan! Mengecewakan!” tulis Sheila menerusi akaun Twitternya.
Pengerusi Pakatan Harapan, Tun Dr Mahathir Mohamad memuji Sheila dan mengucapkan terima kasih kepada penyanyi itu kerana menyuarakan pandangannya.
"Satu per satu ikon Malaysia bersuara demi masa depan negara. Dari Fatiya Latiff, Aznil Nawawi dan sekarang Sheila Majid. Anak muda khususnya kena berani kehadapan. Masa depan terletak di tangan anda. Kalau bukan kita, siapa lagi? Terima kasih Sheila Majid" tulis Dr Mahathir di laman twitternya.
Pemimpin-pemimpin pembangkang yang lain juga turut memuji Sheila dan beberapa artis lain yang dilihat berani bersuara. Disisi pemimpin UMNO, apa yang dikatakan oleh Sheila telah dijawab.
Isunya sekarang, selain dari apa yang disentuh Sheila, kebebasan bersuara yang diperolehi penyanyi itu dan beberapa lagi artis yang satu aliran pemikirannya. Biarpun pemimpin dan penyokong UMNO tidak bersetuju dengan Sheila, atau ada yang mengecamnya, satu perkara yang Sheila dan artis lain tidak boleh nafikan, ada ruang kebebasan untuk menyatakan pandangan. Dikecam atau dikutuk itu satu cerita lain.
Sehingga hari ini, ketika PAU2017 masih lagi berlangsung, tidak ada usul untuk Sheila atau pelakon Fathia Latif dikenakan apa-apa tindakan. Exco Puteri UMNO, Dira Abu Zahar ketika berucap di Perhimpunan Puteri baru-baru ini hanya meminta Fathia bercakap berdasarkan fakta, tidak pula mengusulkan apa-apa tindakan terhadap Fathia yang telah banyak kali membuat kenyataan tidak sealiran dengan kerajaan.
Maknanya, Sheila, Fathia dan beberapa artis lain masih bebas menyatakan pandangan mereka. Dikecam satu perkara yang perlu diterima kerana yang menyokong juga ramai.
Kalau Sheila, Fathia dan beberapa artis lain membuat kenyataan yang agak pedas terhadap kerajaan atau pemimpin kerajaan pada tahun 1980an atau 1990an atau lebih tepat lagi ketika era pemerintahan Dr Mahathir, rasanya sehari selepas kenyataan dikeluarkan, berbagai bentuk tindakan telah dikenakan.
Masihkan ingat lagi dengan isu "Siapa Mahathir?" yang ditanya seniman Datuk M.Nasir kepada seorang wartawan yang mahu penyanyi itu hadir ke majlis baca puisi yang dihadiri Mahathir.
M.Nasir tidak membuat apa-apa kenyataan mempertikaikan pemerintahan Dr Mahathir, tetapi cukup dengan "Siapa Mahathir?", selepas itu banyak perkara yang komposer terkenal itu terpaksa berdepan. Bekalan elektrik di rumah penyanyi itu dipotong dan M.Nasir berdepan ugutan ditarik balik kerakyatannya. Padahal soalan "Siapa Mahathir?" itu keluar apabila M.Nasir terpaksa membatalkan penyertaannya di acara puisi yang dihadiri Mahathir kerana mahu pulang menziarahi bapa mertuanya yang meninggal dunia di Singapura.
Itu dizaman Mahathir. Kini dizaman Datuk Seri Najib Tun Razak, artis yang menyatakan pandangan agak kritikal terhadap kerajaan tidak dikenakan apa-apa tindakan. Mereka bebas untuk bersuara menggunakan media sosial.
Benar, artis tidak boleh disekat untuk bersuara menyatakan pandangannya. Kebebasan bersuara juga perlu diraikan dan perlu diucapkan terima kasih.
______________________________________________________________________________
* Irwan Muhammad Zain adalah wartawan kanan di Astro AWANI.
** Kenyataan di dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan Astro AWANI.
#bersuara
#Datuk Seri Najib Tun Razak
#Fathia Latif
#kebebasan
#M Nasir
#Malaysia
#PAU2017
#sheila majid
#Tun Dr Mahathir Mohamad
#UMNO