Persoalan samada Presiden Suara Wanita 1Malaysia (SW1M), Sharifah Zohra Jabeen Syed Shah Miskin akan hadir ke forum Kebebasan Akademik dan Hak Asasi anjuran Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) masih menjadi tanda tanya.

Beliau yang mencetuskan kontroversi "Listen" baru-baru ini dikatakan akan duduk sepentas dengan pelajar Universiti Utara Malaysia (UUM), KS Bawani dalam forum tersebut, Selasa ini.

Astro Awani sebelum ini telah mendapatkan pengesahan dari penyelaras Suara Anak Muda Malaysia (SAMM) Wan Noor Faril Azli Wan Haron yang mengatakan yang Sharifah telah pun memberi persetujuan untuk menyertai forum berkenaan.

Perkara itu telah sekali lagi disahkan dengan Wan Noor oleh kami setelah beberapa media maya tempatan menafikan kehadiran tersebut.

Wan Noor ketika dihubungi, memberitahu telah mendapat respon yang positif dari timbalan SW1M iaitu Cik Yati bahawa Sharifah akan hadir dan mereka telah pun memberikan surat jemputan.

“Setakat ni kami belum lagi terima surat penolakan rasmi dari pihak beliau... oleh itu bagi pihak penganjur dia dikira hadir,” kata beliau.

Kata beliau setakat ini belum ada penolakan rasmi dari Sharifah atau pihak SW1M, di mana jika mereka tolak, mereka haruslah menghantar surat.

“Kalau dia tak jawab, kami bagi tempoh sampai tarikh forum... kalau dia cakap dia tak datang, dia harus tolak secara professional,” kata Wan Noor lagi.

Setakat ini, SAMM juga telah mengesahkan kehadiran KS Bawani, pakar Perlembagaan Persekutuan, Dr Abdul Aziz Bari dan juga pensyarah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Dr Maszlee Malik.

Sementara itu, kami juga telah menghubungi salah seorang ahli majlis tertinggi SW1M, iaitu Ema Lee Abu Samah di mana beliau menafikan kehadiran tersebut.

“Dia tidak akan hadir... dia tidak pernah bersetuju dengan jemputan tersebut dan tidak pernah mengeluarkan sebarang surat untuk bersetuju atau mengeluarkan apa-apa kenyataan bahawa dia menerima jemputan itu,” kata beliau ketika dihubungi.

Ditanya tentang sebab mengapa beliau (Sharifah) tidak akan hadir, Ema memberitahu bahawa Sharifah bukan lah seorang wakil kerajaan yang membolehkan diri beliau bercakap tentang dasar-dasar kerajaan serta mewakili suara mahasiswa.

Beliau mencadangkan agar SAMM mengadakan program tersebut dengan menjemput wakil daripada kerajaan untuk berdebat atau bercakap.

“Dia bukan lah siapa-siapa... dia cuma ahli NGO dan juga seorang aktivis,” kata Ema.

Bagi pihak Bawani pula, ketika dihubungi berkata beliau tetap akan hadir ke forum tersebut untuk mempromosikan pendidikan percuma dan kebebasan bersuara.

“Saya bukan lah penganjur forum. Saya serahkan perkara ini kepada penganjur untuk mentafsirkan keputusan Sharifah yang enggan hadir. Saya tiada komen,” kata beliau.

Panggilan kepada Sharifah Zohra, bagaimanapun tidak dijawab.

Menurut Ema, pihaknya buat masa ini tidak membenarkan beliau menjawab sebarang panggilan telefon dari individu yang tidak dikenali.

Sharifah Zohra Jabeen jadi terkenal selepas satu klip video yang menunjukkan dia menempelak Bawani dalam satu forum di UUM tersebar melalui YouTube.

Tindakan Sharifah Zohra Jabeen itu kemudian dikecam oleh banyak pihak dan mencetuskan pelbagai reaksi termasuk yang dilahirkan melalui video parodi.