Sharifah Zohra, Bawani duduk sepentas Selasa ini

Astro Awani
Januari 21, 2013 04:36 MYT
Presiden Suara Wanita 1Malaysia (SW1M), Sharifah Zohra Jabeen Syed Shah Miskin yang mencetuskan kontroversi "Listen" dijadual akan duduk sepentas dengan pelajar Universiti Utara Malaysia (UUM), KS Bawani dalam sebuah forum, pada Selasa.
Forum itu bertajuk Kebebasan Akademik dan Hak Asasi dan dianjurkan oleh Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor.
Penyelaras SAMM, Wan Noor Faril Azli Wan Haron yang dihubungi oleh Astro Awani mengesahkan Sharifah Zohra Jabeen telah memberi persetujuan untuk menyertai forum berkenaan.
"Kita dapat respons yang positif bahawa beliau akan hadir," katanya.
Selain Sharifah Zohra Jabeen dan Bawani, forum itu turut membariskan pakar Perlembagaan Persekutuan, Dr. Abdul Aziz Bari dan pensyarah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Dr. Maszlee Malik.
Sharifah Zohra Jabeen jadi terkenal selepas satu klip video yang menunjukkan dia menempelak Bawani dalam satu forum di UUM tersebar melalui YouTube.
Tindakan Sharifah Zohra Jabeen itu kemudian dikecam oleh banyak pihak dan mencetuskan pelbagai reaksi termasuk yang dilahirkan melalui video parodi.
Ia juga memberi ilham kepada beberapa syarikat makanan dan sebuah syarikat telekomunikasi membuat iklan promosi produk masing-masing.
Pelbagai pihak kemudian menggesa Sharifah Zohra Jabeen memohon maaf kepada Bawani.
Sharifah Zohra Jabeen dalam kenyataannya pada Ahad bagaimanapun memaafkan semua pihak yang mengecam dirinya tanpa usul periksa berhubung insiden di UUM itu.
Beliau juga mendakwa isu itu telah diputar belit untuk meraih sokongan pembangkang.
#KS Bawani #Sharifah Zohra Jabeen Syed Shah Miskin #Solidariti Anak Muda Malaysia #Suara 1Wanita Malaysia