Shahrol dakwa dikeluarkan dari 1MDB kerana zahirkan perasaan kurang senang
Rahimah Abdullah
Oktober 1, 2019 13:20 MYT
Oktober 1, 2019 13:20 MYT
Bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi tidak menolak kemungkinan beliau dikeluarkan dari jawatannya di 1MDB berikutan kerap melahirkan rasa kurang senangnya terhadap transaksi kewangan yang dilakukan dengan cepat.
Beliau kemudian dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pelaburan Terengganu Berhad (TIA).
“Saya dilantik sebagai CEO TIA pada 23 Mac 2009 dan telah diarahkan untuk ke PEMANDU pada 15 Mac 2013.
“Saya mengesyaki yang saya dikeluarkan dari 1MDB kerana pada masa itu saya banyak menzahirkan perasaan kurang senang saya terhadap transaksi-transaksi kewangan yang semuanya dilakukan dengan cepat,” katanya semasa keterangan saksi pada Selasa.
Bagaimanapun, beliau masih lagi menduduki kerusi lembaga pengarah 1MDB pada masa itu dengan alasan diberikan oleh ahli perniagaan, Jho Low untuk pengurusan optik.
Hanya selepas isu 1MDB mula dilanda kontroversi, ahli lembaga pengarah 1MDB sepakat mahu letak jawatan.
“Selepas kecoh isu 1MDB dalam tahun 2015 dan 2016, BOD 1MDB dengan sebulat suara membuat cadangan kepada Datuk Seri Najib untuk resign tetapi kami diarahkan untuk stay sebagai ahli lembaga pengarah, sehingga ahli lembaga pengarah baharu dilantik pada 2016,” ujar beliau lagi.
Najib, 66, menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dalam dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah wang yang sama.
Bekas Perdana Menteri itu didakwa melakukan kesalahan itu di Cawangan AmIslamic Bank Berhad, Jalan Raja Chulan, Bukit Ceylon di Kuala Lumpur antara 24 Febuari 2011 dan 19 Disember 2014.
Manakala, bagi semua pertuduhan pengubahan haram adalah antara 22 Mac 2013 dan 30 Ogos 2013 di lokasi sama.