Shahrizat yakin kredibiliti SPRM siasat projek 1Azam
Bernama
September 18, 2013 20:00 MYT
September 18, 2013 20:00 MYT
Ketua Pergerakan Wanita Umno Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil yakin dengan kewibawaan dan kredibiliti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung siasatan terhadap projek penyelewengan dana Program Akhiri Zaman Miskin (1Azam) yang dilaporkan media semalam.
Bekas Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyakarat itu dalam satu kenyataan dua perenggannya di sini hari ini berkata siasatan itu menunjukkan bahawa SPRM telus menjalankan tugasnya sebagai sebuah badan bebas dan berkecuali.
Menurut laporan, SPRM menahan seorang bekas setiausaha politik kepada bekas menteri kabinet Jumaat lepas bagi membantu siasatan berkaitan satu projek di bawah program berkenaan. Individu itu bagaimanapun dibebaskan semalam setelah diambil keterangan.