Shahrizat tarik balik saman RM100j terhadap Rafizi
Astro Awani
November 11, 2013 12:58 MYT
November 11, 2013 12:58 MYT
Ketua Wanita Umno, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil, menarik balik saman RM100 juta yang difailkan terhadap Mohd Rafizi Ramli dan Ketua Wanita PKR, Zuraida Kamaruddin berhubung kenyataan akhbar mengecam National Feedlot Corporation (NFC), sebentar tadi.
Pesuruhjaya kehakiman, Vazeer Alam Mydin Meera, membatalkan saman itu tanpa kos dalam kamar diwakili peguam Ranjit Singh dan Gopal Sreevanavasen mewakili defendan serta Datuk Ahmad Redza Abdullah bagi pihak Shahrizat.
Keputusan Datuk Seri Shahrizat itu, disambut baik oleh Rafizi Ramli yang juga ahli parlimen Pandan dan Zuraida Kamaruddin ahli parlimen Ampang.
Rafizi bagaimanapun menjelaskan beliau akan terus menyiasat dan mencari kebertanggungjawaban isu NFC walaupun saman telah digugurkan.
"Saya akan terus menyiasat dan mencari pihak yang bertanggungjawab dalam NFC kerana masih banyak perkara yang belum diselesaikan.
"Keputusan Shahrizat untuk menarik saman itu menguatkan lagi semangat saya untuk terus memantau isu NFC agar mereka yang bertanggungjawab dibawa ke muka pengadilan.
"Sebagai seorang menteri Kabinet pada ketika itu, Shahrizat tahu bahawa dana yang sepatutnya khusus kepada projek berimpak tinggi negara digunakan bagi tujuan lain termasuk membeli kondominium tetapi tidak dilaporkan kepada Kabinet," katanya.
Tambahnya lagi, beliau akan menulis buku mengenai NFC untuk memberi galakan kepada rakyat Malaysia mengambil inisiatif mendedahkan rasuah dan berharap buku tersebut yang mencatatkan banyak perkara yang belum diketahui umum akan dapat mengekalkan ingatan rakyat terhadap NFC.
Ujarnya lagi, keputusan Datuk Seri Shahrizat Jalil, menarik balik saman, ingin membuktikan bahawa jika kita mendedahkan suatu penyelewengan dengan fakta mampu mempertahankan pendedahan itu di media atau di mahkamah.
Sementara itu, Zuraida pula menegaskan Shahrizat sepatutnya menarik balik kes itu lebih awal sebelum lebih banyak pendedahan dilakukan ke atas dirinya.
Beliau mendakwa Shahrizat menarik balik sama itu kerana memenangi pertandingan merebut jawatan Ketua Wanita UMNO dan dilantik sebagai pensihat kepada Perdana Menteri dalam hal ehwal wanita.
"Kami akan memastikan ada usaha pemulihan dilakukan ke atas projek ini kerana wang yang digunakan perlu dikembalikan untuk mengusahakan projek ini, tetapi kerajaan masih gagal berbuat demikian.
"Biarpun ada rundingan dengan syarikat Jepun tetapi mereka tidak bodoh untuk mengambil syarikat yang penuh dengan hutang untuk diambil alih.
"Rakyat masih menunggu faedah terhadap projek ini setelah tujuh tahun penangguhan. Selaku ahli Parlimen, kami akan meneruskan usaha itu,” katanya.
Ahli Parlimen Ampang itu berkata, tindakan Shahrizat menarik balik sama itu memberi ruang lebih luas kepada dirinya dan Rafizi untuk membongkar salah laku dalam isu NFC.