Shahrizat nafi dakwaan dua pencabarnya

Nabihah Hamid
September 23, 2013 18:45 MYT
Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil menafikan dakwaan pencabarnya Datuk Maznah Mazlan bahawa Pergerakan Wanita UMNO Malaysia diperlekehkan dan tidak mempunyai imej yang baik.
Malah menurut Shahrizat yang mendakwa Maznah sudah lama tidak hadir mesyuarat exco pergerakan tersebut dan tindakannya itu turut jadi tanda tanya dalam kalangan anggota exco yang lain.
"Boleh tanya dengan Setiausaha (Wanita) UMNO Malaysia, sampai kita pun kadang-kadang (hairan)… eh, apa jadi kepada Datuk Maznah, kenapa tak datang mesyuarat?" katanya ketika sidang media di Pusat Dagangan Dunia Putra, PWTC hari ini.
Shahrizat bakal berentap dengan dua pencabarnya Exco Wanita UMNO, Datuk Maznah Mazlan dan ahli UMNO Bahagian Kulim Bandar Baharu, Raihan Suleiman Palestin.
Shahrizat yang mempertahankan jawatan yang disandangnya sejak tahun 2009 ditentang oleh Maznah dan ahli UMNO Bahagian Kulim Bandar Baharu, Raihan Suleiman Palestin dalam pemilihan yang akan diadakan pada 19 Oktober ini.
Maznah dalam satu wawancara dengan Berita Harian yang membuat keputusan mencabar Shahrizat untuk mengangkat martabatkan Wanita UMNO dan tidak mahu pergerakan itu diperlekehkan sesiapa.
Mengulas mengenai pertandingan itu, Shahrizat menafikan ia sebagai tanda protes kepada kepimpinannya sebaliknya bukti bahawa demokrasi subur dalam pergerakan sayap itu.
Dalam pada itu, Shahrizat menafikan sekeras-kerasnya bahawa ada cubaan daripada pihaknya untuk memujuk Raihan supaya tidak bertanding.
"Kita tak pernah jumpa Raihan (sudah) bertahun. Saya tak minat usaha nak pujuk tarik diri. Siapa berminat nak bertanding, bertandinglah," katanya.
Tegas Shahrizat, beliau tidak kisah dan tidak ada masalah kalau "10 orang nak bertanding pun."
Mengenai peluangnya dalam pemilihan itu nanti, Shahrizat yakin ahli-ahli Wanita UMNO akan memberikan sokongan kepadanya.
#Datuk Maznah Mazlan #Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil
;