Shahrizat minta anggota Wanita baharu usah persenda pemimpin lama

Bernama
September 29, 2013 19:15 MYT
Ketua Wanita UMNO Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil meminta anggota pergerakan itu yang baharu agar tidak mempersenda dan mengetepikan mana-mana pemimpin berusia ke arah memperkasa parti, terutama dalam sayap berkenaan.
Beliau berkata Wanita UMNO, yang kini rata-ratanya diterajui pemimpin muda, harus tidak melupakan jasa dan bakti pemimpin berusia kerana mereka mempunyai idea serta pengalaman lebih luas.
"Saya tidak rela mana-mana pemimpin wanita yang berumur dipersendakan oleh golongan yang lebih muda kerana pengalaman dan jasa mereka terlalu banyak. Mana-mana yang berpengalaman, berumur pun ada tempat dalam UMNO. Jangan sesekali ketepikan pemimpin yang berumur.
"Ini kerana struktur Umno memang sudah sedia cantik, Puteri jaga yang muda, Kita (Wanita) jaga yang pertengahan dan berumur," katanya kepada pemberita selepas majlis Sambutan Merdeka Raya Semarak Kasih di sini hari ini.
Turut hadir isteri Menteri Besar Terengganu Toh Puan Seri Nurliza Mahmud, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Azizah Mohd Dun serta Ketua Pergerakan Puteri Umno Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin.
Wanita UMNO sehingga kini mempunyai keanggotaan 1.4 juta dengan 18,000 cawangan di seluruh negara.
Sementara itu, kesemua lapan bahagian pergerakan Wanita UMNO Terengganu mencapai kata sepakat untuk memberi sokongan penuh kepada Shahrizat, yang berdepan dua pencabar pada pemilihan parti Oktober ini.
Ketua Wanita UMNO Terengganu Datuk Fatimah Hamat berkata sokongan padu itu berdasarkan kebolehan dan keberkesanan Shahrizat menerajui pergerakan berkenaan.
"Sepanjang menerajui kepimpinan Wanita UMNO, beliau berjaya mengangkat martabat dan menambah penglibatan wanita meliputi pelbagai aspek serta aliran gerak kerja jentera dan petugas begitu teliti," katanya.
Fatimah, penyandang Ketua Wanita Bahagian Hulu Terengganu, menang tanpa bertanding begitu juga dua lagi iaitu Ketua Wanita Umno Bahagian Marang Senator Zaiton Mat Amin dan Engku Naimah Engku Taib (Besut).
Wanita UMNO Terengganu mempunyai 980 perwakilan dan lima bahagian lagi iaitu Kuala Terengganu, Kuala Nerus, Dungun, Kemaman serta Setiu akan menyaksikan pertandingan satu lawan satu bagi jawatan Ketua Wanita bahagian.
#Shahrizat Abdul Jalil #Wanita UMNO
;