Shahrir Samad dicabar selepas 31 tahun

Bernama
September 21, 2013 19:58 MYT
Selepas 31 tahun tidak dicabar sebagai Ketua Umno Bahagian Johor Bahru, kedudukan Tan Sri Shahrir Abdul Samad sebagai penyandang jawatan itu pada pemilihan parti kali ini berbeza.
Kali ini, veteran politik Umno itu akan dicabar oleh Ketua Cawangan Jalan Utama, Kampung Melayu Zulkifli Ismail bagi merebut jawatan Ketua Umno Bahagian Johor Bahru itu.
"Saya positif (terhadap cabaran daripada Zulkifli) kerana ia bukanlah sesuatu yang luar biasa. Ketika ini sesiapa sahaja boleh bertanding di dalam pemilihan Umno," katanya kepada pemberita ketika ditemui di pusat pendaftaran calon-calon pemilihan Umno Negeri Johor di sini, Sabtu.
Kedua-dua borang pencalonan Ketua Umno Bahagian Johor Bahru bagi Shahrir, yang juga anggota Parlimen Johor Bahru dan Zulkifli dikemukakan oleh wakil masing-masing.
Menurut Shahrir, pemilihan parti di peringkat bahagian kali ini lebih terbuka dengan setiap anggota mempunyai kuasa untuk memilih calon yang mereka fikirkan terbaik untuk parti.
"Anggota parti kini berkuasa untuk membuat pilihan tanpa sebarang paksaan, sekatan, mereka kini bebas," katanya dan berharap calon yang terbaik akan menang jawatan Ketua Umno Bahagian Johor Bahru.
Kali terakhir Shahrir dicabar bagi jawatan Ketua Umno Bahagian Johor Bahru adalah pada 1982.
Sementara itu pemilihan bagi jawatan Ketua Umno Bahagian Pengerang bakal sengit apabila empat calon termasuk penyandangnya Datuk Azalina Othman Said disah akan bertanding.
Mereka yang berhasrat bertanding Ketua Umno Bahagian Pengerang selain Azalina adalah Mohamed Long yang merupakan bendahari bahagian, ketua cawangan Bandar Penawar Abdul Jalil Kahar dan Datuk Harun Abdullah, timbalan ketua bahagian.
"Saya terbuka dengan cabaran ini, saya tiada masalah dengan cabaran empat penjuru di bahagian. Terpulang kepada semua anggota bahagian untuk membuat pilihan mereka," kata Azalina ketika dihubungi.
#Pemilihan UMNO #shahrir samad #zulkifli ismail
;