KUALA LUMPUR :Ketua Penerangan UMNO, Shahril Sufian Hamdan disahkan pulih daripada COVID-19 dan dibenarkan keluar dari Hospital Sungai Buloh (HSB) hari ini.

Menerusi Twitter, beliau yang menjalani kuarantin di hospital berkenaan sejak disahkan positif pada 23 September lalu, berkata mahu meluangkan masa dengan keluarganya selepas ini.


Sementara itu, menerusi Facebook rasmi beliau, Shahril berkata, doktor menasihatkannya supaya banyak berehat di rumah selain memantau keadaan fizikalnya dari semasa ke semasa.

“Jutaan terima kasih kepada barisan hadapan di seluruh negara terutamanya pasukan perubatan di Hospital Sungai Buloh.

“Saya dapat mengalami dan menyaksikan sendiri betapa profesional dan komitednya mereka. Merekalah yang terbaik antara kita,” tulis beliau.

Shahril turut merakamkan ucapan terima kasih kepada semua pihak yang mendoakan dan memberi semangat kepadanya sebelum ini.

Beliau disahkan positif selepas pulang dari Sabah baru-baru ini selepas membantu kempen Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.

Menurutnya, tiada simptom ketara pada dirinya, hanya berasa sedikit penat namun selepas keputusan diperoleh, beliau disahkan positif COVID-19.

 
Sumber Facebook shahril.hamdan

Sebelum itu, Ahli Majlis Tertinggi UMNO Datuk Mohd Razlan Rafii telah disahkan positif COVID-19 dan sedang dirawat di hospital.

Beliau dilaporkan membantu jentera pilihan raya di Parlimen Sipitang, dan kesemua kontak rapatnya telah melalui ujian saringan.