Shahril Hamdan, Amira Aisya tersenarai dalam Young Global Leaders 2023

Astro Awani
Mac 16, 2023 06:15 MYT
Shahril Sufian Hamdan dan Amira Aisya Abdul Aziz disenaraikan sebagai antara Young Global Leaders (YGL) bagi tahun 2023 oleh Forum Ekonomi Dunia.
KUALA LUMPUR: Dalam dunia yang bergolak dan berpolarisasi, pemimpin yang komited, teliti dan berinspirasi diperlukan untuk membawa perubahan dan manfaat kepada dunia.
Justeru, Forum Ekonomi Dunia telah mengumumkan senarai Young Global Leaders (YGL) bagi tahun 2023, merangkumi hampir 100 pemimpin politik, usahawan, penyelidik dan aktivis ternama dari seluruh dunia.
Turut berada dalam senarai ialah bekas Ketua Penerangan UMNO dan Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Shahril Sufian Hamdan dan Setiausaha Agung Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda), Amira Aisya Abdul Aziz.
Sebagai sebahagian daripada program pembangunan kepimpinan selama tiga tahun mereka, YGL akan mempunyai akses kepada pelbagai kursus pendidikan eksekutif, pembelajaran dan peluang untuk bekerjasama dengan rakan sebaya, membantu mereka mencapai matlamat dan memberi impak yang lebih ketara kepada masyarakat.
“Kami memuji YGL atas komitmen cemerlang mereka untuk menangani isu global yang mendesak. Pencapaian luar biasa mereka memberi inspirasi dan kami yakin kepimpinan mereka akan membuka jalan untuk masa depan yang lebih baik,” kata Ketua Forum Young Global Leaders, Wadia Ait Hamza.
“Forum Ekonomi Dunia berbesar hati untuk mengalu-alukan kumpulan terbaru Young Global Leaders, yang pencapaian dan komitmen luar biasa mereka untuk menambah baik dunia datang pada masa kerjasama, perkongsian dan kepimpinan yang bertanggungjawab lebih kritikal berbanding sebelum ini,” kata Ahli Lembaga Pengarah Forum Young Global Leaders, Nicole Schwab.
Selepas penubuhannya pada 2004, Forum Young Global Leaders hari ini memiliki lebih 1,400 ahli dan alumni dari lebih 120 negara.
#young global leader #ygl #Shahril Hamdan #Amira Aisya
;