Shahidan tarik diri pencalonan Presiden DPMM
Sinar Harian
Jun 17, 2023 12:12 MYT
Jun 17, 2023 12:12 MYT
KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim mengumumkan untuk menarik diri daripada pencalonan sebagai Presiden Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM).
Beliau yang juga Presiden DPMM Perlis berkata, penarikan diri tersebut adalah demi perpaduan dan keharmonian dewan perniagaan berkenaan.
"Saya mengucapkan kepada mereka yang dicalon dan dilantik bagi jawatan ini semoga dapat menggalas amanah tersebut dengan baik.
"Saya juga akan membantu mereka dari masa ke masa," katanya kepada media pada Sabtu.
Shahidan berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui di lobi sebuah hotel di sini bagi menyertai mesyuarat DPMM.
Beliau turut menafikan spekulasi mengenai hubungan dingin dengan ahli dewan tersebut yang menjadi punca kepada penarikan pencalonannya. -- Sinar Harian