Shahidan: Sudut sidang media lobi Parlimen untuk anggota Parlimen

Bernama
Julai 10, 2013 08:06 MYT
Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Shahidan Kassim menegaskan sudut sidang media di lobi Parlimen hanya untuk kegunaan anggota parlimen, bukan orang awam.
Beliau berkata anggota parlimen dari semua parti telah bersetuju dan mengetahui dari awal kegunaan sudut itu hanya dikhaskan bagi sidang media anggota parlimen.
"Tidak kiralah apa-apa sidang media sekalipun, jika melibatkan orang awam, saya minta ia dilakukan di khemah pelawat yang telah disediakan di luar bangunan parlimen.
"Khemah tersebut kita sediakan cukup selesa dan mampu menampung kira-kira 200 orang," katanya kepada pemberita, di lobi Parlimen hari ini.
Shahidan merupakan menteri yang bertanggungjawab untuk sebarang hal ehwal berkaitan Parlimen.
Beliau berkata demikian apabila pembangkang hari ini didapati membawa orang awam masuk untuk menyertai sidang media mereka di sudut yang disediakan tersebut.
Menurut Shahidan, persidangan Dewan Rakyat akan diteruskan seperti biasa sepanjang Ramadan namun juadah berbuka dan moreh akan disediakan malah anggota parlimen, pemberita dan tetamu boleh menunaikan solat tarawih di surau bangunan Parlimen.
"Persidangan akan tamat pada 7.30 malam bagi memberi laluan kepada solat Maghrib, Isyak diikuti solat tarawih tetapi jika sesi perbahasan memerlukan masa yang panjang, ia mungkin akan habis lewat," katanya.
#Datuk Seri Shahidan Kassim #lobi #Parlimen #Sidang media
;