Shahidan saran kerajaan lantik menteri agama jadi mufti besar

Umavathi Ramayah
Mac 13, 2023 16:42 MYT
Shahidan Kassim (PN-Arau) berkata, langkah itu perlu bagi membolehkan hal ehwal agama Islam diselaras dengan baik. -Gambar fail/Video YouTube Parlimen
KUALA LUMPUR: Kerajaan dicadang melantik Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) sebagai 'mufti besar' seperti yang diamalkan di beberapa negara termasuk Indonesia.
Datuk Seri Shahidan Kassim (PN-Arau) berkata, langkah itu perlu bagi membolehkan hal ehwal agama Islam diselaras dengan baik.
"Agama Islam sama sahaja di mana-mana tapi urusan pentadbiran kadang-kadang membezakan kita dengan tempat lain.
"Di Indonesia tidak ada masalah dan seluruh dunia ada mufti besar, tetapi kita tidak ada.
"Kita hanya ada mufti dari negeri-negeri dan timbul masalah apabila menteri (agama) mengenakan syarat-syarat tertentu untuk sesuatu perkara, contohnya macam ceramah dan sebagainya, ada satu-satu negeri benar, negeri satu lagi tak benarkan," katanya ketika sesi perbahasan Belanjawan 2023 di Dewan Rakyat di sini pada Isnin.
Shahidan berkata, ketiadaan penyelaras mengenai hal agama Islam itu menimbulkan syarat dan ketetapan yang berbeza dilakukan negeri-negeri.
Hal ini, katanya, hanya akan memperlihatkan Islam dilihat 'tidak manis' oleh pihak tertentu.
"Saya kesian dekat menteri agama, dia kena cari jalan penyelesaian bagaimana hendak selaraskan masalah agama," katanya.
Media sebelum ini melaporkan dua ceramah pendakwah bebas dibatalkan susulan didapati tidak mempunyai tauliah untuk mengajar agama Islam.
Isu tauliah kembali menjadi tumpuan susulan beberapa negeri mengeluarkan arahan hanya membenarkan penceramah mempunyai tauliah sahaja boleh menyampaikan kuliah atau ceramah agama Islam.
#Shahidan Kassim #Mufti Besar #Menteri Hal Ehwal Agama #Belanjawan 2023
;