Shahidan nafi murid dibawa ke tanah perkuburan

Astro Awani
Oktober 20, 2016 22:52 MYT
Tegas Shahidan, apa yang berlaku hanyalah murid yang menyertai kem bina diri itu dibawa mengelilingi pejabat APM daerah Kuala Kangsar yang terletak tidak jauh dari kawasan perkuburan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim menafikan dakwaan ada murid dibawa ke tanah perkuburan ketika menyertai kem bina diri kelolaan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).
Tegas Shahidan, apa yang berlaku hanyalah murid yang menyertai kem bina diri itu dibawa mengelilingi pejabat APM daerah Kuala Kangsar yang terletak tidak jauh dari kawasan perkuburan.
“Tidak ada murid yang dibawa ke tanah perkuburan, tidak ada. Tapi kadang-kadang dinamakan benda itu, cuma mereka pusing keliling pejabat (APM) sahaja.
"Seperti mendaki, berjalan di atas sebatang kayu, di mana kayu itu jaraknya sekaki. Tetapi dalam keadaan mereka (pada ketika itu), mereka kata bahawa kayu itu tinggi, gayat, pada hal kalau dibuka mata macam turun daripada kerusi sahaja," jelasnya.
Bagaimanapun, Pengarah APM Perak, Kolonel Pertahanan Awam, Mohd Noor Hassan Ashari Sulaiman mengakui terdapat modul latihan mereka yang membawa peserta ke tanah perkuburan.
BACA: Selain dicampak ular, murid dakwa dibawa APM ke tanah perkuburan
Katanya, modul itu dikenali sebagai latihan burung hantu.
Namun pihaknya akan menyiasat dakwaan pegang batu nisan dan duduk sebelah gambar di kubur seperti yang diperkatakan peserta program.
Sementara itu, Yang Dipertua Persatuan Ibubapa dan Guru (PIBG) SK Beluru, Shahidan Ahmad berkata, murid-murid merasa lebih berkeyakinan selepas menyertai kem bina diri kelolaan APM.
#angkatan pertahanan awam #APM #Kuala Kangsar #Shahidan Kassim #tanah perkuburan
;