Shahidan dakwa Jimmy Puah sokong Israel, panaskan Dewan Rakyat
Ridauddin Daud
Oktober 30, 2023 12:50 MYT
Oktober 30, 2023 12:50 MYT
KUALA LUMPUR: Dewan Rakyat pada Isnin kecoh apabila Datuk Seri Shahidan Kassim (PN-Arau) mendakwa Jimmy Puah Wee Tsen (PH-Tebrau) menyokong Israel.
Ia membuatkan Jimmy serta beberapa Ahli Parlimen blok kerajaan bangkit, mendesak Shahidan menarik balik kenyataan itu.
“Kalau dia mengaku... dia tak kata dia menyokong Israel. Tapi sekarang (dakwaan) saya dengan dia, bukan dengan orang lain,” kata Shahidan.
Timbalan Speaker, Alice Lau Kiong Yieng, kemudian meminta Ahli Parlimen lain duduk.
Beberapa Ahli Parlimen lain kemudian terus mendesak Shahidan menarik balik kenyataannya.
Alice kemudian berkata: “Yang lain sila duduk. Yang Berhormat Arau, tarik balik fitnah itu. Kalau tak dapat duduk (Ahli Parlimen lain), saya akan minta keluar Dewan. Yang Berhormat Arau tarik balik, kita akan teruskan dewan.”
Wong Shu Qi (PH - Kluang) yang masih tidak berpuas hati berkata: “Ini perangai Ahli Parlimen Pas ke? Buat pertuduhan sahaja.
Shahidan kemudian membalas: “Yang Berhormat, kalau dia tidak kata menyokong Israel...dan dia mengaku, saya tarik baliklah. Apa yang bising sangat? Yang lain menyibuk pasal apa? Nak tunjuk garang sangat kenapa? Tak perlu tunjuk garanglah, telan dengan pisang saja,” katanya.
Kekecohan reda tidak lama kemudian dan sidang Dewan Rakyat disambung semula seperti biasa.
Shahidan terdahulu meminta Dewan Rakyat membuat satu pendirian mengenai keadaan yang dihadapi oleh rakyat Palestin ketika ini, terutama mangsa serangan Israel yang terkorban termasuk kanak-kanak.