Shahanim sumbang insurans bernilai RM100,000 kepada 100 penghantar makanan

Astro Awani
Oktober 13, 2022 16:16 MYT
Menurut Shahanim sumbangan tersebut bertujuan untuk memastikan para penghantar makanan di Sungai Petani mendapat perlindungan insurans. - Gambar fail
SUNGAI PETANI: Seramai 100 penghantar makanan menerima sumbangan berbentuk perlindungan insurans bernilai RM100,000 yang ditaja sepenuhnya oleh Ketua UMNO Bahagian Sungai Petani, Datuk Shahanim Mohamad Yusoff.
Menurut Shahanim, inisiatif ini merupakan langkah awal dalam meningkatkan kesedaran tentang kepentingan perlindungan insurans dalam kalangan masyarakat Sungai Petani.
“Sumbangan ini adalah sebagai persediaan untuk setiap penghantar makanan menghadapi perkara yang tidak diingini seperti terlibat dalam sebuah kemalangan pada masa yang akan datang.
“Perlindungan ini amat penting kepada penghantar makanan yang terdedah kepada risiko kemalangan jalan raya,” katanya.
Menurutnya sumbangan tersebut bertujuan untuk memastikan para penghantar makanan di Sungai Petani mendapat perlindungan insurans.
“Daripada memberikan sumbangan berbentuk wang ringgit, lebih baik jikalau sumbangan ini diberikan dalam bentuk perlindungan insurans.
“Sumbangan ini bukan sekadar memberikan perlindungan semata-mata, tetapi bertujuan untuk memberikan kesedaran kepada penghantar makanan akan kepentingan memiliki perlindungan insurans untuk menjamin kehidupan yang lebih baik,” ujarnya lagi.
Sumbangan ini disampaikan sewaktu sesi beramah mesra bersama penghantar makanan di sekitar Sungai Petani, Kedah pada Rabu.
#Shahanim Mohamad Yusoff #insurans #penghantar makanan #UMNO Sungai Petani
;