Shafie Apdal mahu jumpa Musa Aman di mahkamah

Ridzal Abdullah
Jun 21, 2020 12:41 MYT
Yayasan Sabah sebelum ini memfailkan tuntutan saman terhadap Musa Aman.
Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal menegaskan pihaknya akan berdepan dengan Tan Sri Musa Aman di mahkamah berhubung tuntutan saman RM1 bilion berkaitan isu dakwaan penyelewengan urusan Yayasan Sabah, sebelum ini.
"Mereka sudah keluarkan kenyataan saman maka tidak mengapa kita jumpa di mahkamah sahaja," katanya.
Pada Jumaat lalu, Pengarah Yayasan Sabah, Datuk Jamalul Kiram Mohd Zakaria yang mewakili Yayasan Sabah, mengadakan sidang media memberitahu mereka memfailkan saman RM827 juta di Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu, terhadap bekas Ketua Menteri Sabah itu.
Mereka mendakwa Musa terlibat dengan aktiviti pembalakan yang meragukan ketika menjadi Pengerusi Yayasan Sabah.
Musa kemudian menafikan dakwaan itu dan membuat tuntutan RM1 bilion serta permohonan maaf secara terbuka oleh Yayasan Sabah terhadapnya.
BACA: Yayasan Sabah fail tuntutan RM872 juta terhadap Musa Aman
BACA: Musa Aman nafi dakwaan salah laku ketika jadi Pengerusi Yayasan Sabah
BACA: Musa Aman tuntut RM1 bilion, permohonan maaf terbuka daripada Shafie Apdal, Yayasan Sabah
Shafie ditemui media selepas melawat mangsa kebakaran di Sri Aman Semporna dan penyampaian kunci rumah kepada seramai 60 penerima rumah Program Perumahan Rakyat (PPR) Bubul Ria di Semporna pada Ahad.
Dalam pada itu Shafie enggan menjawab lebih lanjut apabila ditanya mengenai isu pemilihan calon Perdana Menteri dalam Pakatan Harapan (PH), jika menjadi kerajaan semula.
"Ini saya tak nak nyatakan... saya (Warisan) cuma PH-Plus... saya jaga rakyat Malaysia di Sabah itu sahaja keutamaan saya," kata beliau.
#calon #Ketua Menteri #Kota Kinabalu #Malaysia #mangsa #Mohd Shafie Apdal #Musa Aman #Pakatan Harapan #pemilihan #Perdana Menteri #politik #rakyat Malaysia #saman #Semporna #Shafie Apdal
;