Shabudin Yahaya dilantik Pengerusi AIM baharu
Astro Awani
September 11, 2021 11:16 MYT
September 11, 2021 11:16 MYT
KUALA LUMPUR: Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) hari ini mengumumkan pelantikan Datuk Shabudin Yahaya sebagai Pengerusi AIM baharu menggantikan Datuk Seri Panglima Haji Lajim Ukin yang meninggal dunia Ogos lalu.
Dalam satu kenyataan, AIM memaklumkan, Shabudin yang juga Ahli Parlimen Tasek Gelugor sejak 2013, pernah dilantik sebagai hakim mahkamah syariah sebelum menjawat jawatan Pengerusi Felcra Berhad.
"Beliau kemudiannya dilantik sebagai Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri yang menjaga Hal Ehwal Parlimen dan Undang-Undang.
"Di atas kepimpinan dan pengalaman yang dimiliki ini, beliau diyakini dapat menerujui AIM yang kini memiliki seramai 356,024 Sahabat kepada satu tahap yang lebih baik dan cemerlang," katanya hari ini.
AIM turut mengucapkan selamat datang dan selamat menjalankan tugas kepada Shabudin.
"Semoga pelantikan ini dapat meningkatkan lagi peranan dan fungsi AIM dalam usaha membantu kerajaan mengurangkan kadar kemiskinan seterusnya dapat meningkatkan taraf ekonomi isi rumah golongan yang berpendapatan rendah," jelas kenyataan itu.