Shabery cabar LPP wujud produk 'juara' dunia
Bernama
Februari 14, 2017 23:24 MYT
Februari 14, 2017 23:24 MYT
Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) dicabar wujudkan produk 'juara dunia' sebagai langkah membuka laluan produk tempatan menembusi pasaran antarabangsa.
Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata idea berkenaan bertepatan dengan transformasi yang sedang dirancang LPP.
"Jangan cakap soal cukup untuk makan sahaja sebab suasana dah berubah, soal cukup makan, membasmi kemiskinan itu satu peringkat pada waktu dahulu," katanya ketika berucap sebelum merasmikan majlis Transformasi 44 tahun LPP, di sini, hari ini.
Turut hadir pengerusi LPP Tan Sri Zainal Dahalan.
Ahmad Shabery berkata untuk berkembang maju, LPP tidak harus memberi fokus untuk bersaing hanya di padang sendiri.
"Saya tak cakap jaguh sesama kita. Saya cakap juara, yang bersaing dengan produk Thailand dan Jepun keluarkan, barulah kita boleh berbangga, ini adalah produk kita," katanya.
Beliau turut memberi idea supaya produk-produk yang bakal dikeluarkan turut dihasilkan dalam bentuk proses.
Ahmad Shabery pada majlis berkenaan turut menyampaikan watikah penubuhan enam pejabat Jurutera Wilayah LPP dan menyempurnakan penyerahan bendera Ekspedisi Gunung Kilimanjaro, Afrika Selatan oleh pasukan LPP.
-- BERNAMA