SG4 tubuh syarikat, agih hasil sama rata kepada empat negeri - Dr Mahathir

Ridauddin Daud
September 2, 2024 13:30 MYT
Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis menubuhkan sebuah syarikat dinamakan SG4 Sdn Bhd bagi berkongsi kekayaan dan mengagihkan hasil kepada empat-empat negeri itu secara saksama. - Foto Astro AWANI/Shahir Omar
BANGI: Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis menubuhkan sebuah syarikat dinamakan SG4 Sdn Bhd bagi berkongsi kekayaan dan mengagihkan hasil kepada empat-empat negeri itu secara saksama.

Ringkasan AI
  • Penubuhan SG4 Sdn Bhd: Kelantan, Terengganu, Kedah, dan Perlis menubuhkan syarikat SG4 Sdn Bhd untuk berkongsi kekayaan dan mengagihkan hasil secara saksama. Setiap negeri memiliki 25% saham.
  • Fokus Ekonomi: Syarikat ini akan memberi tumpuan kepada lima kluster ekonomi, termasuk nadir bumi (REE) yang dianggap sebagai punca kekayaan utama.
  • Agihan Hasil: Hasil dari sumber ekonomi seperti nadir bumi akan diagihkan secara saksama antara negeri-negeri, walaupun sumber tersebut tidak terdapat sama rata di setiap negeri.

Penasihat SG4, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, menerusi syarikat tersebut, setiap negeri di bawah pentadbiran Perikatan Nasional (PN) itu akan memiliki saham dan ekuiti yang sama.
Menurutnya, setiap negeri memiliki 25 peratus saham syarikat tersebut dan ia bagi memastikan negeri yang ketinggalan jauh seperti Perlis, juga mendapat hasil yang sama seperti negeri lain.
Ketika ditanya aspek ekonomi yang akan menjadi tumpuan syarikat tersebut, Dr Mahathir menegaskan elemen nadir bumi (REE) antara yang akan diberi perhatian.
“Umpamanya kita percaya industri nadir bumi ini satu punca kekayaan.
“Jadi REE ini bukan ada sama rata di setiap negeri, satu negeri mungkin lebih daripada negeri lain.
“Justeru dalam satu syarikat ini kita agih segala hasilnya secara saksama,” katanya.
SG4 tubuh syarikat, agih hasil sama rata kepada empat negeri - Tun Dr Mahathir
Beliau berkata demikian pada sidang media sempena Sidang Kemuncak SG4 yang turut dihadiri Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang dan Ketua Whip PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan di Bangi pada Isnin.
Dalam pada itu, Takiyuddin memaklumkan syarikat tersebut sudah didaftarkan beberapa bulan lepas.
Menurutnya, terdapat lima kluster ekonomi digariskan dalam perancangan syarikat tersebut, melibatkan lima aspek ekonomi dengan nadir bumi juga termasuk dalam kluster berkenaan.
“Macam Tun Dr Mahathir sebutlah...Terengganu, Kelantan mempunyai elemen nadir bumi yang terbesar di Malaysia, begitu juga di Kedah.
“Di Perlis, tiada nadir bumi tapi ada dolomite yang digunakan untuk proses proses nadir bumi ini,” katanya.
#Mahathir Mohamad #Takiyuddin Hassan #REE #nadir bumi #PN #SG4