Sg Limau: Penduduk kampung mahu penaiktarafan prasarana

Aizat Sharif
Oktober 29, 2013 09:36 MYT
Rata-rata penduduk di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Limau di sini berkehendakkan penaiktarafan prasarana dan kemudahan jalan di kawasan mereka.
Tinjauan Astro AWANI di Kampung Kuala Dulang Kechil yang terletak dua kilometer dari pekan Yan mendapati penduduk merasakan kemudahan dalam melakukan kerja harian mereka di kampung tersebut masih lagi kurang memuaskan.
Ridhwan Ghazali
Ridhwan Ghazali, 29, berkata kemudahan yang dimaksudkan adalah seperti jeti yang memudahkan mereka membuat kerja seperti memunggah tangkapan ikan yang dibawa dan juga menaiktaraf kemudahan tali air di kampung tersebut.
“Penduduk di sini kebanyakan nelayan dan pesawah yang mewarisi pekerjaan tersebut turun-temurun dari zaman datuk dan nenek kita, jadi selaras dengan peredaran zaman, kami minta pihak kerajaan supaya dapat menyediakan prasarana seperti itu agar ianya dapat memudahkan kami,” kata Ridhwan.
Ridhwan menambah, selain dari melakukan kerja-kerja sebagai nelayan dan pesawah, penduduk kampung juga terlibat dengan aktiviti pelancongan seperti membawa pelancong-pelancong dalam dan luar negara pergi memancing di sekitar perairan di kampung itu.
“Kawasan ini sebenarnya kawasan tarikan pelancong dimana pelancong yang juga ‘kaki pancing’ datang sejauh dari Singapura semata-mata untuk memancing, cumanya setahun dua ini agak kurang pendapatan kami kerana disebabkan masalah pencerobohan bot-bot pukat jerut yang banyak merentap periuk nasi kami,” katanya lagi.
“Kita hanya mahu memudahkan kerja seharian kita di sini dan kita tidaklah mahu memohon yang lebih-lebih cumanya kita mahukan jeti yang sempurna dan naik taraf prasarana yang saya nyatakan tadi,” kata Ridzwan.
Azizan Ismail
Azizan Ismail atau lebih dikenali sebagai Shidan, 43 pula berkata penduduk mahukan pembangunan dari segi kemudahan jalan raya.
“Saya sudah menetap di sini sejak 20 tahun yang lalu dan kampung ini merupakan kawasan memancing terkenal. Seluruh pemancing dari pelbagai darjat dan kelas, baik anak Raja, Menteri Besar sampailah ke pekerja buruh akan bertumpu ke sini untuk memancing. Oleh hal demikian, kemudahan prasarana seperti jalan raya masih tidak mencukupi.
Menurutnya, penduduk kampung telah banyak membuat permohonan, namun hanya jeti pendaratan dan dewan orang ramai yang masih tidak siap lagi yang diluluskan pembinaannya.
“Bangsal nelayan itu tidak siap lagi dan hanya ada tiang dan bumbung sahaja. Saya agak kecewalah andai kerajaan tidak dapat membantu kami kerana orang kampung di sini banyak menceburkan diri dalam bidang ‘eco-tourism’ jadi jika bantuan sebegini gagal disempurnakan, hampalah harapan kami untuk memajukan tempat ini,” kata Azizan.
Muhammad Rushdi Yahya
Muhammad Rushdi Yahya, 45 pula menyifatkan pembangunan di kampungnya itu perlu diperbanyakkan lagi selain beberapa prasarana yang ada juga perlukan pembaikan.
“Saya tidak menafikan memang ada bantuan yang diberikan oleh kerajaan namun bagi saya ianya tidak mencukupi kerana perkembangan zaman memerlukan beberapa kemudahan prasarana di sini perlu ditambahbaik.”
Rushdi menambah tidak semua penduduk di kampungnya itu hanya tertumpu kepada sektor perikanan sahaja, sebaliknya mereka juga ada yang bekerja sebagai pesawah.
“Ada yang bekerja laut, ada yang bekerja sawah. Macam di sawah juga masalah tali air semakin menjadi-jadi dan jikalau masalah asas seperti tali air pun gagal diselesaikan, bagaimana kita nak membangun," katanya lagi.
Rushdi juga menerangkan penambakkan pantai yang dilakukan di kampungnya juga bagaikan dilakukan secara ‘melepaskan batuk di tepi tangga’.
“Kalau kita tengok penambakkan pantai, batu-batu yang diletakkan sebagai penambak itu diletakkan secara tidak tersusun menyebabkan ada sesetengah tempat itu tidak ditambak sepenuhnya dan kesan ombak itu terjadi semula,” kata Rushdi.
Dengan kehadiran Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Rabu ini, penduduk kampung mengharapkan hasrat suara mereka dapat didengar oleh Timbalan Perdana Menteri sendiri dalam pertemuan itu.
Pilihan Raya Kecil DUN Sungai Limau yang akan berlangsung pada 4 November ini akan menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara calon Barisan Nasional, Dr Ahmad Sohaimi Lazim, 52 dan calon PAS, Mohd Azam Abd Samat, 37.
#DUN #Kampung Kuala Dulang #Penduduk #prk sungai limau
;