Sewa rendah antara faktor Nilai jadi tumpuan warga asing - Aminuddin

Bernama
Oktober 29, 2023 01:20 MYT
Aminuddin (berjaket warna hitam) ketika meninjau Opsa Sabung di Bandar Baru Nilai 3. - Foto Sinar Harian
NILAI: Premis berkadar sewa rendah termasuk untuk dijadikan asrama dan transit sebelum warga asing dihantar ke negara jiran, antara faktor mengapa kumpulan itu bertumpu di Nilai, kata Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun.
Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kerja Keselamatan Negeri berkata hal itu memberikan kesan kepada masyarakat sekitar berikutan ada antara mereka yang melanggar undang-undang.
Malah katanya ada dalam kalangan majikan mengambil kesempatan menempatkan pekerja dalam persekitaran tidak selesa.
"Jadi kita merasakan perlu untuk dibuat pemeriksaan bagi memastikan mereka (majikan dan warga kerja asing) mengikut peraturan yang ditetapkan.
"Kita tahu sebahagian daripada mereka ada lesen, mereka (majkan) juga warganegara dan boleh menjalankan perniagaan mereka dengan baik, tetapi pastikan tidak melanggar peraturan, ada kedai yang telah lama beroperasi tapi baru nak mohon lesen apabila operasi dijalankan," katanya kepada pemberita.
Beliau berkata demikian selepas turun padang dalam operasi bersepadu atau Op Sabong melibatkan 350 anggota agensi keselamatan dan penguatkuasaan Negeri Sembilan termasuk polis, Jabatan Imigresen dan Jabatan Kastam, di sini malam tadi.
Dalam operasi selama lima hari bermula 24 Okt itu, sebanyak 17 operasi dilaksanakan dengan lebih 1,000 warga asing diperiksa dan 185 tangkapan dibuat atas pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen serta 254 premis diperiksa dan lima premis disita.
Aminuddin turut menggesa ejen pekerja asing supaya mengikut peraturan dan tidak menjadikan Nilai sebagai tempat meletakkan pekerja mereka sebelum dihantar ke lokasi lain.
Beliau turut menasihatkan warga asing untuk memahami adat dan budaya tempatan serta berkelakuan baik selain tidak melanggar peraturan.
Dalam pada itu, katanya sejumlah 398 kompaun dikeluarkan atas pelbagai kesalahan dan 600 botol/tin bir serta 51 peket rokok pelbagai jenama seludup, selain 10 peket syabu dan 14 peket heroin turut dirampas dalam operasi itu.
Aminuddin berkata semua kesalahan, rampasan dan tangkapan itu tertakluk kepada Akta, Peraturan, dan Enakmen yang berkuat kuasa termasuk Akta Dadah Berbahaya 1985 (Akta 316), 1952 (Akta 234), Akta Kastam 1967, Akta Imigresen 1959/1963.
Menurutnya operasi seumpama itu akan terus dipergiat oleh semua agensi keselamatan dan penguatkuasaan termasuk diperluas ke semua daerah bagi memelihara keselamatan dan ketenteraman awam di negeri ini.
"Saya juga menyeru agar seluruh masyarakat memainkan peranan sebagai mata dan telinga kepada pihak berkuasa dengan sentiasa cakna dan bekerjasama melaporkan segala bentuk kesalahan jenayah, salah laku, penyelewengan, penyeludupan dan pelanggaran undang-undang," katanya.
Jelasnya, kerajaan negeri sangat prihatin dan memberi tumpuan kepada isu lambakan warga asing di negeri ini serta giat melaksanakan langkah mengekang, mengawal dan memastikan mereka mematuhi undang-undang selain tidak mendatangkan kesan buruk kepada warga tempatan.
-- BERNAMA
#Aminuddin Harun #sewa rendah #warga asing #nilai