Sewa kondominium mewah jadi stor, edar dadah

Astro Awani
September 5, 2024 16:50 MYT
Dalam serbuan tersebut, polis turut menyita wang tunai berjumlah RM900, barangan kemas bernilai RM4,000 dan kereta Perodua Myvi.
KUALA LUMPUR: Kondominium mewah yang disewa dijadikan stor penyimpanan dan pengedaran dadah.
Itu taktik sindiket pengedaran dadah yang menjadikan kondominium mewah disewa antara RM2,500 ke RM3,000 sebagai tempat menyimpan dadah jenis ketamin dan pil ekstasi.
Namun, taktik itu terbongkar apabila Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyerbu dua lokasi berasingan di Cheras dan Cheras Perdana dalam usaha menumpaskan sindiket berkenaan.
Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, serbuan pada 11.35 pagi hingga 5 petang itu dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur.
Hasil serbuan, tiga lelaki tempatan berusia antara 23 hingga 30 tahun telah ditahan.
“Polis merampas satu beg hijau yang mengandungi dadah ketamin seberat 10.5 kilogram (kg).
“Susulan daripada tangkapan itu, pasukan polis ke sebuah kondominium di Cheras Perdana, Selangor yang dipercayai dijadikan tempat untuk menyimpan dadah sebelum diedarkan.
“Hasil pemeriksaan polis menemui tiga bungkusan plastik lutsinar berisi dadah disyaki ekstasi seberat 5.2 kg dan dua bungkusan plastik putih berisi ketamin seberat 4 kg,”
Beliau berkata demikian pada sidang media di IPK Kuala Lumpur pada Khamis.
Menurutnya, modus operandi sindiket adalah menjadikan kondominium sebagai stor simpanan dadah selepas mendapatkan bekalan dadah dari luar negara.
Tambah beliau, dalam serbuan tersebut, polis turut menyita wang tunai berjumlah RM900, barangan kemas bernilai RM4,000 dan kereta Perodua Myvi.
“Hasil ujian saringan awal mendapati dua suspek positif dadah tetrahydrocannabinol (THC) dan ketamin,” katanya.
Suspek direman selama enam hari sehingga Isnin ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
#PDRM #sindiket pengedaran dadah #Dadah #kondominium mewah