Sewa kapal tidak guna duit kerajaan negeri - MB Kedah
Sinar Harian
Ogos 24, 2022 07:15 MYT
Ogos 24, 2022 07:15 MYT
ALOR SETAR: Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor memberi penjelasan bahawa kapal yang disewa dalam satu majlis di Pulau Langkawi langsung tidak menggunakan wang kerajaan negeri.
Muhammad Sanusi berkata, beliau tidak goyah dengan tuduhan yang dilemparkan dengan menunjukkan seolah-olah beliau bermewah-mewah sebaliknya memperjelaskan situasi sebenar berkaitan gambar yang tular di media sosial.
“Kapal yang disewa itu langsung tidak menggunakan wang kerajaan negeri, sebaliknya dibayar oleh salah seorang pegawai menggunakan duit poket sendiri,” katanya ketika dihubungi, pada Rabu.
Terbaharu, beberapa gambar Muhammad Sanusi bersama pimpinan kerajaan negeri tular di media sosial yang memaparkan suasana dalam sebuah majlis didakwa di atas kapal mewah Tranquility dengan kapsyen ‘Mewahnya MB Kedah dan Pimpinan Pas Kedah’.
Menurut Muhammad Sanusi, ia adalah majlis perpisahan antara anggota Exco Kerajaan Negeri dengan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Ammar Shaikh Mahmood Naim sempena persaraan beliau di Langkawi.
“Majlis berkenaan menggunakan sebuah kapal layar yang disewa, iaitu Erica yang biasa digunakan oleh pelancong untuk aktiviti island hopping atau melihat matahari terbenam. Bukanlah untuk bermewah-mewah dan ia pertama kali dilakukan,” katanya.
Menurut Muhammad Sanusi, Langkawi dipilih untuk diadakan majlis tersebut susulan terdapat lapan program di pulau legenda itu dan Pulau Tuba bermula pada Selasa hingga Jumaat.
“Antara program yang diadakan, penyerahan geran tanah, mesyuarat Exco, mesyuarat Geopark, Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) Lembaga Pembangunan Langkawi (Lada), Mesyuarat Jemaah Pengarah Lada, program Pulau Tuba sebagai pulau rendah karbon, melawat loji air serta kempen kibar Jalur Gemilang,” katanya.
Tambah beliau, memandangkan kesemua pihak terlibat berada di Langkawi ketika itu selain kekangan masa, adalah lebih menjimatkan untuk diadakan majlis tersebut di sana.
Sebelum ini, gambar berkenaan dimuat naik di laman tik tok dengan gambaran majlis yang diadakan atas kapal mewah Tranquility menunjukkan Muhammad Sanusi hidup mewah tanpa menghiraukan kesusahan rakyat Kedah. -Sinar Harian