Sewa ambulans untuk bawa nenek 87 tahun suntik vaksin

Nailah Huda
Jun 7, 2021 12:24 MYT
Ping Kehing, 87 tahun, menerima dos pertama vaksin COVID-19 di sebuah hospital swasta. - Foto: Larissa Ping
TERLANTAR di katil, Ping Kehing yang berusia 87 tahun terpaksa menaiki ambulans yang disewa oleh ahli keluarganya untuk mematuhi janji temu vaksinasi COVID-19 di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) minggu lalu.
Menurut cucunya, Larissa Ping yang pernah dinobat sebagai Miss World Malaysia 2018, proses mendapatkan vaksin untuk neneknya memerlukan usaha mereka sekeluarga.
Ping Kehing pada awalnya dijadualkan untuk menerima vaksin pada 9 April lalu di Stadium Perpaduan Kuching, yang terletak berjauhan dari rumahnya.
“Apabila saya menghubungi pihak berkuasa untuk mendapat bantuan pengangkutan bagi nenek saya yang terlantar di katil, saya diberitahu bahawa memberi vaksin kepada individu berusia 87 tahun tidak penting.
“Saya terkejut kerana dia berisiko tinggi. Sepatutnya dia diberi keutamaan,” kata Larissa.
Namun, beberapa hari kemudian, semakan di aplikasi MySejahtera menunjukkan satu janji temu baharu ditetapkan, kali ini di sebuah hospital swasta yang terletak berhampiran rumah.
Apabila mereka cuba mendapatkan perkhidmatan ambulans dari hospital tersebut, sekali lagi mereka diberitahu bahawa bantuan pengangkutan tidak dapat disediakan.
Sebaliknya, mereka dinasihatkan supaya mengguna perkhidmatan ambulans menerusi Life Care Society Ambulance dengan membayar harga RM200.
Walaupun akhirnya berjaya mendapatkan vaksin bagi nenek tersayang, Larissa bagaimanapun berharap proses vaksinasi bertambah baik, terutama bagi warga emas dan orang yang terlantar sakit di katil.
“Ini hanya untuk dos pertama, bagaimana pula untuk dos kedua? Adakah ini bermaksud kami perlu membayar untuk ambulans lagi?
“Kami amat bersyukur kerana masih boleh mampu membayar RM200 bagi mendapatkan ambulan. Namun, bagi orang ramai, ia mungkin terlalu mahal,” kata Larissa.
Larissa, 22 tahun, turut berharap anak-anak muda memainkan peranan yang lebih proaktif dalam menggalakkan ahli keluarga mereka yang lebih berusia untuk mendapatkan vaksin.
“Kita yang lebih muda harus memikirkan tentang keselamatan warga emas di rumah, sedangkan mereka berdisiplin mengamalkan SOP dan duduk di rumah, manakala kita masih keluar rumah dan membahayakan nyawa mereka.
“Sekurang-kurangnya, kita harus melindungi mereka dengan mendapatkan vaksin,” ujarnya.
#vaksin #COVID-19 #Pusat Pemberian Vaksin #KKM #Kuching #Larissa Ping #miss world #Sarawak #PPV #Ambulan
;