Setinggan, penyambungan haram punca UMS tiada air

Sinar Harian
Januari 19, 2024 19:45 MYT
Masalah air di UMS tidak akan berakhir selagi wujudnya aktiviti penyambungan haram yang dilakukan secara besar-besaran di perkampungan setinggan tersebut.
KOTA KINABALU: Penempatan setinggan di sekitar Universiti Malaysia Sabah (UMS) dipercayai antara penyumbang kepada masalah air yang berlaku di institut pengajian tinggi tersebut.
Pengerusi Lembaga Pembangunan Perumahan dan Bandar (LPPB), Datuk Masiung Banah berkata, masalah air di UMS tidak akan berakhir selagi wujudnya aktiviti penyambungan haram yang dilakukan secara besar-besaran di perkampungan setinggan tersebut.
Malah menurut Masiung, penghuni flat rumah kos rendah milik LPPB di Taman Jaya Diri, Bukit Setia di Sepanggar dan Taman Sri Warisan di Inanam Laut sering merungut kerana turut mengalami gangguan bekalan air.
"Walaupun Kementerian Kerja Raya Sabah memberi jaminan masalah air di UMS akan selesai setelah Loji Rawatan Air (LRA)Telibong 2 siap hujung Januari ini, namun UMS akan menerima tekanan air yang rendah akibat terlalu banyak penyambungan haram di penempatan setinggan.
"Apa yang kita lihat juga, inisiatif aplikasi MyJANS yang diperkenalkan kerajaan juga tidak banyak mengubah keadaan kerana penduduk setinggan terutama warga asing sudah terbiasa menikmati air dan elektrik secara percuma hasil penyambungan haram itu," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuamut itu turut berkata, aplikasi MyJans yang dilancarakan JANS pada minggu lalu memang inisiatif yang baik namun penyambungan haram tetap akan berlaku.
Sehubungan itu, beliau mengesa agensi berkaitan terutama JANS supaya menjalankan operasi penguatkuasaan besar-besaran secara berjadual di kawasan setinggan dan kilang terutama di kawasan tersebut.
Baru-baru ini Pengerusi Lembaga Pengarah UMS, Datuk Abdul Rahman Dahlan berkata, kewujudan setinggan dianggarkan 12,000 rumah dipercayai menjadi penyumbang kepada masalah bekalan air di universiti terbesar di Sabah itu.
Kerajaan negeri mengalami kerugian 18 juta liter air sehari (MLD) akibat tindakan penyambungan haram yang dilakukan di kawasan setinggan. - Sinar Harian
#UMS #masalah bekalan air #kawasan setinggan #JANS
;