Setiausaha Politik Tun Mahathir dikaitkan dalam pertuduhan rasuah Isa Samad
Astro Awani
Disember 14, 2018 10:42 MYT
Disember 14, 2018 10:42 MYT
Muhammad Zahid Md Arip, Setiausaha Politik Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dikaitkan dengan pertuduhan rasuah melibatkan bekas Pengerusi Felda Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad.
Menurut laporan Malaysiakini, nama Muhammad Zahid disebut dalam sembilan dari 10 pertuduhan yang dikenakan terhadap Mohd Isa kerana didakwa menerima sogokan RM3 juta dari pembelian sebuah hotel di Kuching.
Menurut pertuduhan itu, Muhamad Zahid didakwa menjadi perantara antara seorang pengarah di syarikat Gagasan Abadi bernama Ikhwan Zaidel dan Mohd Isa.
Muhammad Zahid sebelum ini telah ditangkap oleh SPRM pada Ogos 2017 berhubung urusan pembelian hotel itu dan telah direman selama lapan hari.
Pada Jumaat, Mohd Isa didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas 10 pertuduhan melibatkan kesalahan pecah amanah dan menerima rasuah berjumlah RM3.09 juta berhubung pembelian sebuah hotel di Kuching, Sarawak bernilai RM160 juta oleh Felda Investment Corporation (FIC).
Mohd Isa bagaimanapun tidak mengaku bersalah atas kesemua pertuduhan selepas dibacakan di hadapan Hakim, Azura Alwi dan mohon dibicarakan.
Kesalahan didakwa dilakukan antara 29 April 2014 hingga 11 Disember 2015 di Menara Felda, Platinum Park, No 11, Persiaran KLCC, Kuala Lumpur.
Hakim membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM800,000 dengan seorang penjamin, manakala pasportnya diserahkan kepada mahkamah.
Kes disebut semula pada 25 Januari depan.
Timbalan Pendakwaraya ialah Datuk Omar Saifuddin Jaafar dan Mohd Isa diwakili peguam Ridha Abdah Subri dan Datuk K. kumaraendran.