Setiausaha Politik Ismail Sabri buat laporan polis terhadap Lokman Adam

Bernama
Julai 5, 2021 18:18 MYT
Video yang dimuat naik menerusi laman Facebook Lokman Adam itu mendakwa Ismail Sabri yang juga Naib Presiden UMNO cuba meyakinkan Ahli Parlimen UMNO untuk menjadi calon Bersatu sekiranya tidak dipilih menjadi calon pada PRU15 kelak. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Setiausaha Politik Menteri Kanan (Keselamatan) hari ini membuat laporan polis terhadap bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO Datuk Lokman Noor Adam susulan penyebaran video yang memfitnah Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Datuk Syed Mohd Fazmi Sayid Mohammad membuat laporan polis itu di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi kira-kira jam 2.30 petang selepas meneliti video berdurasi satu jam 42 saat ketika berada sekitar PWTC kira-kira jam 11 pagi, semalam.
Syed Mohd Fazmi berkata video yang dimuat naik menerusi laman Facebook Lokman Adam itu mendakwa Ismail Sabri yang juga Naib Presiden UMNO cuba meyakinkan Ahli Parlimen UMNO untuk menjadi calon Bersatu sekiranya tidak dipilih menjadi calon pada Pilihan Raya Umum ke-15.
"Setelah meneliti isi kandungan video itu saya dapati dengan jelas pemilik akaun Facebook tersebut membuat fitnah dan hasutan terhadap Ismail Sabri bermula minit ketiga sehingga akhir video," katanya selepas membuat laporan polis itu.
Beliau berkata siasatan perlu dilakukan terhadap Lokman mengikut akta-akta berkaitan dengan fitnah iaitu Akta Hasutan 1948 , Akta Anti Berita Tidak Benar (Akta 803) dan Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia1998 kerana membuat tuduhan terbuka.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi ACP Mohamad Zainal Abdullah ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan itu.
-- BERNAMA
#ismail sabri yaakob #Menteri Kanan Keselamatan #laporan polis #Lokman Noor Adam #penyebaran video #UMNO #Facebook Lokman Adam #PRU15 #Akta Hasutan 1948 Akta Anti Berita Tidak Benar
;