Setiausaha Agung Parti Sosialis Malaysia Arul ditahan polis
Astro Awani
Februari 19, 2015 20:19 MYT
Februari 19, 2015 20:19 MYT
Setiausaha Agung Parti Sosialis Malaysia (PSM) S. Arutchelvan ditahan polis petang tadi dipercayai untuk membantu siasatan berhubung satu kenyataan berbaur hasutan di internet berkaitan keputusan kes liwat II, Datuk Seri Anwar Ibrahim 10Februari lalu.
Arutchelvan yang turut dikenali sebagai Arul berkata petang tadi, lebih 10 pegawai polis berada di luar kediamannya di Kajang, Selangor untuk membawanya ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, lapor The Malay Mail Online.
Twitter yang dipercayai milik PSM turut memaklumkan beberapa anggota polis dikatakan memasuki kediaman terbabit dan mengambil beberapa peralatan elektronik.
"Mereka(polis) memaklumkan yang mereka akan melakukan siasatan ke atas saya di bawah Akta Hasutan, namun mereka belum beritahu saya lagi atas sebab apa.
"Mungkin ia berkaitan dengan apa yang dikatakan Ketua Polis Negara hari itu," kata Arul kepada The Malay Mail Online.
Satu perhimpunan solidariti untuk Arul juga dikatakan akan diadakan pada jam 9.30 malam ini di IPD Dang Wangi.