Setiap wakil rakyat mempunyai hak untuk meletakkan jawatan - Mahathir

Astro Awani
Februari 13, 2014 15:12 MYT
Tun Dr Mahathir Mohamad
Mantan Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr Mahathir Mohamad berpendapat tindakan meminda undang-undang agar hukuman lebih berat dikenakan terhadap wakil rakyat yang meletak jawatan tanpa sebab munasabah bukanlah satu jalan penyelesaian terbaik.
Menurut beliau, bukan semua perkara dapat dikawal menerusi undang-undang yang ketat dan setiap wakil rakyat mempunyai hak untuk meletakkan jawatan pada bila-bila masa.
Katanya, beliau sendiri pernah meletakkan jawatan ketika menjadi wakil rakyat sebelum ini.
"Saya rasa tidak perlulah undang-undang. Undang-undang bukan akan mengawal segalanya. Moral manusia lebih penting. Sekatan ini kena datang dari dalam hati kita. Jangan buat benda yang tak baik. Saya fikir kalau dia nak berhenti, berhentilah. Kita lawan balik. Kalau kita tak setuju, jangan pilihlah. Kalau kita pilih, makna kita setujulah," kata Mahathir.
Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai hasrat Suruhanjaya Pilihanraya Malaysia (SPR) yang akan mengkaji keperluan dan cadangan undang-undang bagi mengenakan hukuman yang lebih berat terhadap wakil rakyat yang meletak jawatan sesuka hati tanpa sebab yang munasabah.
Cadangan tersebut susulan daripada tindakan Lee Chin Chen yang meletak jawatan sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kajang pada 27 Januari lalu bagi memberi laluan kepada Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim bertanding di situ.
Berdasarkan undang-undang sedia ada, setiap wakil rakyat yang berhenti sama ada anggota Dewan Rakyat dan Dewan Undangan Negeri akan hilang kelayakan menjadi anggota dewan yang berkenaan selama lima tahun bermula dari tarikh perletakan jawatan.
Mahathir sebelum itu menyampaikan ucaptama pada Persidangan Antarabangsa Kekeluargaan Dari Perspektif Global di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada, Johor Bahru.
#ADUN #Dewan Rakyat #Lee Chin Chen #Mahathir Mohamad #SPR #Suruhanjaya Pilihanraya Malaysia
;