Setiap peruntukan GEG dinilai jawatankuasa bebas, lapor terus ke Parlimen - Khairy

Firdaus Azil
Ogos 1, 2022 21:02 MYT
Khairy berkata, jawatankuasa bebas itu akan menyemak dan menilai semua peruntukan di bawah RUU, termasuk kawalan yang melibatkan generasi yang lahir pada 1 Januari 2007 dan seterusnya.
KUALA LUMPUR: Setiap peruntukan di bawah Rang Undang-Undang (RUU) Kawalan Produk Tembakau Dan Merokok 2022, yang akan dibahas dalam tempoh dua hari ini, memerlukan pemantauan dan penilaian berterusan.
Justeru, Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata, satu jawatankuasa bebas akan ditubuhkan bagi maksud tersebut.
Sewaktu membentangkan RUU tersebut untuk bacaan kali kedua, Khairy berkata, jawatankuasa bebas itu akan menyemak dan menilai semua peruntukan di bawah RUU itu, termasuk kawalan yang melibatkan generasi yang lahir pada 1 Januari 2007 dan seterusnya.
"Khusus bagi kawalan yang melibatkan generasi yang lahir pada 1 Januari 2007 dan seterusnya di bawah Fasal 13 dan Fasal 17, penilaian pertama akan dibuat bermulanya RUU ini dikuatkuasakan sehingga 31 disember 2024.
"Penilaian kedua iaitu selepas 10 tahun dari tempoh penilaian pertama iaitu pada 31 Disember 2034 dan laporan ini akan dihantar kepada Parlimen, bukan Kementerian Kesihatan (KKM).
"RUU ini amat penting dan tidak boleh ditangguhkan lagi, dalam membendung amalan merokok di Malaysia khususnya bagi generasi muda yang bakal mengemudi pentadbiran kita dan negara kita,” katanya lagi.
BACA: RUU Kawalan Produk Tembakau dan Merokok elak golongan muda jadi mangsa kesan berbahaya rokok
BACA: Kesalahan merokok untuk GEG bukan jenayah, purata denda RM50 sahaja - Khairy
Terdahulu, Khairy berkata, awal hari ini beliau telah mengadakan satu lagi libat urus Jawatankuasa Pilihan Khas Hal Ehwal Wanita, Kanak-kanak dan Pembangunan Sosial yang dipengerusikan Datuk Seri Azalina Othman Said yang juga Ahli Parlimen Pengerang.
Beliau berkata libat urus itu turut disertai Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas Kesihatan, Sains dan Inovasi, yang juga Ahli Parlimen Bandar Kuching, Dr Kelvin Yii Lee Wuen.
Hasil libat urus tersebut, Khairy berkata, pihaknya bersetuju untuk mengurangkan denda standard daripada RM5,000 kepada RM500, selain menggantikan hukuman denda dengan khidmat masyarakat.
Selain itu, Khairy berkata, beliau juga bersetuju bahawa tiada pemeriksaan dilakukan kepada golongan GEG, iaitu individu yang lahir pada 1 Januari 2007, dan berusia 18 tahun ke atas.
Katanya lagi, pindaan itu akan dibawa sewaktu RUU memasuki peringkat jawatankuasa selepas beliau selesai menggulungkannya esok.
Khairy berkata, penetapan 1 Januari 2007 dan seterusnya telah dibuat berbanding dengan penetapan pihak KKM sebelum ini iaitu generasi yang lahir pada 1 Januari 2005 dan seterusnya, bagi membolehkan kerajaan mempunyai tempoh yang mencukupi.
Tempoh itu, bagi memastikan transisi yang lancar dan teratur dalam kawal selia produk tembakau, bahan merokok dan produk pengganti tembakau.
Katanya lagi, akta tersebut tidak akan terpakai kepada perokok berada di luar lingkungan GEG, iaitu mereka yang lahir pada tahun 2006 ke bawah.
Khairy berkata, terdapat beberapa objektif yang ingin dicapai melalui pelaksanaan RUU tersebut iaitu pengurangan peratusan perokok kepada tahap di bawah lima peratus, serta penurunan penurunan beban rawatan komplikasi merokok (rokok konvensional dan rokok elektronik), penurunan jurang perbezaan peratusan merokok terutama dalam kalangan berpendapatan rendah atau B40.
Khairy berkata, dengan pelaksanaan RUU tersebut, yang dijangka pada 31 Disember, 2024, ia diyakini dapat mengurangkan kos rawatan yang ditanggung kerajaan akibat aktiviti merokok.
Beliau berkata, ketika ini anggaran perbelanjaan yang dikeluarkan kerajaan untuk merawat penyakit berhubung aktiviti merokok ialah RM6.2 bilion, dan jumlah itu dijangka meningkat kepada RM8.8 bilion menjelang 2040, jika RUU itu tidak dilaksanakan.
Selain itu katanya lagi, ia bertujuan untuk mewujudkan generasi muda bebas rokok, dan seterusnya melahirkan barisan pemimpin dan rakyat yang lebih sihat dan produktif.
Katanya lagi, keputusan yang diambil ahli dewan rakyat berkenaan RUU ini, kesannya hanya akan dirasai pada tahun tahun yang mendatang.
“Perbahasan kita, keputusan kita, undian kita, semua ada kesan yang sangat besar di luar dewan ini. But once in a while, we will be presented with a decision, the consequences of which will be felt for many, many years to come.
“Ini antara masanya kita akan buat keputusan yang bergema selama lipatan masa akan datang. Sama ada kita menyahut suara-suara rakyat yang mengharapkan kita buat keputusan yang tepat dalam melindungi generasi akan datang dari mudarat besar ini. Let’s do the right thing,” katanya lagi.
#jawatankuasa bebas #Rang Undang-undang Kawalan Tembakau dan Merokok 2022 #Generational End Game #Khairy Jamaluddin
;