Setiap negeri disaran sediakan peta risiko bencana
Bernama
Oktober 6, 2021 16:02 MYT
Oktober 6, 2021 16:02 MYT
PUTRAJAYA: Setiap negeri wajar menyediakan peta risiko berkaitan bencana untuk digunakan maklumatnya bagi penggubalan dasar dan penyediaan belanjawan.
Menurut Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), saranan tersebut disuarakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas) Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad pada sesi libat urus bersama pengerusi-pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) secara maya semalam.
Menurut NADMA dalam kenyataan hari ini, Abdul Latiff semasa sesi libat urus itu juga menyarankan semua agensi di peringkat negeri dan daerah memberikan kerjasama bagi memastikan tindakan pencegahan dan mitigasi dijalankan berdasarkan kajian data dan sains.
Pengerusi JPBN juga diingatkan agar memastikan setiap agensi memainkan peranan masing-masing ketika berlakunya bencana termasuklah sewaktu menjalankan persiapan dan menghadapi bencana antaranya penyelarasan keperluan aset dan sumber manusia.
NADMA berkata sesi libat urus itu bertujuan untuk memastikan kesiapsiagaan jentera kerajaan berada pada tahap maksimum ketika menghadapi bencana.
Bulan Kesiapsiagaan Nasional (BKN) 2021 dilancarkan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob semalam.
BKN disambut pada Oktober setiap tahun bertujuan meningkatkan tahap kesedaran dan kesiapsiagaan pelbagai pihak terhadap bencana, khususnya bagi menghadapi musim tengkujuh dan pelbagai bentuk bencana seperti banjir lumpur dan tanah runtuh.
-- BERNAMA