Setiap industri harus tetapkan 'kuota kaum'
Luqman Hariz
Disember 20, 2018 19:45 MYT
Disember 20, 2018 19:45 MYT
Matlamat kerajaan untuk merapatkan jurang kekayaan antara kaum di Malaysia harus kembali kepada perkara asas: wujudkan lebih banyak pekerjaan.
Menurut Presiden Persatuan Suara Keamanan, Hati Nurani dan Kebolehan Menaakul (PCORE) Datuk Halimah Mohd Said, pewujudan lebih banyak pekerjaan adalah instrumen terpenting dalam usaha berterusan kerajaan untuk merapatkan jurang antara kaum sejak berdekad lalu.
Beliau mengulas berkenaan kerelevanan tindakan afirmatif dalam konteks keterangkuman sebagai sebahagian ideliasme Malaysia Baharu.
“Tiap-tiap kaum memerlukan pekerjaan untuk mempertingkatkan tahap ekonomi masing-masing.
“Bidang yang harus ditekankan adalah bidang vokasional; penting untuk kita tingkatkan kemahiran vokasional supaya golongan yang tidak berkemampuan boleh membuka perniagaan sendiri, boleh menjadi kontraktor mahir, boleh memasuki industri seperti automotif menggunakan kemahiran tertentu,” katanya.
Mengulas mengenai dominasi sesetengah kumpulan terhadap sesetengah segmen ekonomi, Halimah mencadangkan setiap industri meletakkan “kuota kaum”.
“Industri yang didominasi etnik Cina, buka 30 peratus untuk Melayu. Industri yang dijalankan oleh orang Melayu, buka 30 peratus untuk orang Cina," katanya.
Beliau yakin, lama-kelamaan ini akan berjaya mewujudkan keseimbangan dalam golongan yang bergiat dalam industri.
Baca lebih mengenai pendapat Presiden PCORE, Datuk Halimah Mohd Said mengenai keterangkuman kaum dan perhimpunan anti-ICERD 8 Disember lalu di sini.