Setiap dasar, program kementerian timbang elemen kos sara hidup - Armizan

Astro Awani
Februari 27, 2024 11:45 MYT
Menurut Armizan, kerajaan juga akan melakukan pemantauan terhadap faktor pasaran dan aktiviti sektor swasta serta industri susulan kos sara hidup bergantung kepada faktor permintaan dan penawaran dalam sistem ekonomi pasaran terbuka. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Kerajaan melalui Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) akan memastikan setiap penggubalan dasar dan program yang dilaksanakan melalui kementerian dan agensi akan memberikan pertimbangan terhadap elemen kos sara hidup.
Menurut Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali, kerajaan juga akan melakukan pemantauan terhadap faktor pasaran dan aktiviti sektor swasta serta industri susulan kos sara hidup bergantung kepada faktor permintaan dan penawaran dalam sistem ekonomi pasaran terbuka.
"Selain penggubalan dasar dan program-program utama merentasi pelbagai kementerian, strategi dan pendekatan berbentuk intervensi dan mitigasi juga dilaksanakan dalam menangani pelbagai isu dan kesan berkaitan kos sara hidup termasuk menggalakkan penglibatan pelbagai pemegang taruh.
"Belanjawan 2024 telah memperuntukkan sebanyak RM58.1 billion untuk tujuan subsidi, insentif dan bantuan yang terkait dengan sara hidup rakyat. Inisiatif-inisiatif yang dilaksanakan melalui peruntukan tersebut tidak termasuk yang telah dan akan dilaksanakan oleh pihak lain seperti badan korporat melalui CSR dan NGO, serta Kerajaan Negeri," katanya semasa Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Parlimen ke-15.
Mengulas lanjut, Armizan berkata, antara inisiatif yang telah dan sedang dilaksanakan adalah Program Jualan Rahmah Madani dan Jualan Agro Madani, Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA), Inisiatif FlySiswa dan Skim Harga Diskaun Tiket Musim Perayaan, Program MyLesen (B2, PSV, E DAN GDL), Pas Bulanan Tanpa Had My50 dan Skim Perubatan Madani.
"Senarai inisiatif keseluruhan akan dipaparkan melalui Portal IHSAN MADANI yang akan dilancarkan pada 20 Mac 2024.
"Satu lagi strategi penting yang diberikan penekanan ialah penguatkuasaan yang merupakan elemen terpenting dalam memastikan para peniaga tidak menaikkan harga barangan dan perkhidmatan sewenang-wenangnya.
"Pelbagai OPS dilaksanakan seperti OPS CATUT, OPS TERJAH, OPS TIRIS , OPS MENU, OPS PASAR dan OPS SAMAR bagi memastikan bekalan sentiasa stabil dan mengekang elemen pencatutan di pasaran," ujar beliau.
Dalam masa sama, Armizan berkata, kerajaan akan meningkatkan penguatkuasaan dalam aspek mengekang gejala anti persaingan dalam pasaran.
"Ini elemen kartel dalam bentuk pakatan harga, pakatan pasaran, pakatan pengeluaran dan tipuan bidaan yang mempengaruhi harga barang dan perkhidmatan yang ditawarkan kepada rakyat," katanya.
#Armizan Mohd Ali #NACCOL #kos sara hidup #Program Jualan Rahmah Madani
;