Setiap banduan berhak mohon pengampunan - Anwar
Umavathi Ramayah
Mei 1, 2023 15:33 MYT
Mei 1, 2023 15:33 MYT
PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan setiap individu yang disabitkan dengan kesalahan, termasuk bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak, berhak membuat permohonan untuk mendapatkan pengampunan.
Katanya, semua permohonan yang dikemukakan banduan akan disemak secara profesional dan tanpa sebarang prejudis.
"Seperti yang telah saya katakan, setiap pesalah atau banduan mempunyai hak untuk memfailkan permohonan bagi mendapatkan pengampunan.
"(Setiap permohonan seterusnya) akan dinilai oleh Lembaga Pengampunan secara profesional tanpa sebarang prejudis," katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas merasmikan Sambutan Hari Pekerja 2023 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini pada Isnin.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai pandangan berbeza diberikan pemimpin parti dalam kerajaan berhubung permohonan pengampunan Najib.
Anwar sebelum ini mengesahkan beliau berada dalam Lembaga Pengampunan, namun menegaskan kuasa memberi keampunan adalah di bawah Yang di-Pertuan Agong mengikut Perkara 42(1) dan 42(2) Perlembagaan Persekutuan.
Anwar dilaporkan berada dalam lembaga itu bukan atas kapasitinya sebagai Perdana Menteri tetapi bagi menjaga portfolio Menteri Wilayah Persekutuan.
Di bawah Perkara 42(5) Lembaga Pengampunan membabitkan Peguam Negara, Menteri Persekutuan yang bertanggungjawab (Perkara 42(11) dan tidak lebih daripada tiga orang anggota lain yang dilantik oleh Agong.
Susulan itu, Perdana Menteri menegaskan tidak timbul konflik kepentingan dalam hal itu kerana ada proses yang perlu diikuti dan keputusan akhir adalah di bawah kuasa Yang di-Pertuan Agong.
Semalam Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Salahuddin Ayub memohon maaf kepada UMNO di atas keterlanjuran kenyataan dikeluarkan Khalid Abdul Samad berhubung pengampunan Najib, baru-baru ini.
Dalam pada itu, Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamid mengesahkan Lembaga Pengampunan yang bersidang pada 28 April lalu tidak membincangkan mengenai petisyen rayuan pengampunan yang difailkan bekas Perdana Menteri itu.