Setelah Terlafaznya Akad, Azmin Ali dan Resipi Asam Pedas Melaka ungguli carian Google 2019

Hilal Azmi, Ian Johan Ariff, Israr Khalid
Disember 11, 2019 21:16 MYT
Pasukan Astro AWANI berjaya dalam siri kuiz yang diadakan oleh Google Malaysia sempena majlis pengumuman Malaysia Year In Search 2019 - Foto Israr Khalid
Setiap tahun, data carian terhangat Google antara yang paling ditunggu-tunggu memandangkan ia merupakan data penting untuk memahami kepenggunaan maklumat melalui enjin carian.
Tahun ini, Google Malaysia terus berkongsi data carian terhangat menerusi lima kategori utama antaranya iaitu carian trending 2019, carian individu, topik berita, filem trending, siri televisyen trending serta muzik trending.
Secara keseuluruhannya, kata kunci ‘Earth Day Quiz’ berada di kedudukan tertinggi carian sepanjang tahun 2019.
Kata kunci ini menjadi trending sempena sambutan Hari Bumi oleh Google yang memberikan keputusan berasaskan pilihan haiwan yang diberikan kepada pengguna.
‘Thanos’ pula sebagai carian kedua tertinggi di Malaysia memandangkan watak ini amat popular dalam perbualan rakyat Malaysia sejak filem Avengers: Endgame mula ditayangkan.
Bagi mereka yang mengikuti rapat perkembangan bantuan kerajaan, kata kunci ‘Bantuan Sara Hidup’ berada di kedudukan ketiga tertinggi carian Google yang diikuti dengan carian ‘Copa America 2019’ dan juga ‘Air Pollutant Index of Malaysia’ turut jadi carian tertinggi.
Bagi kategori Drama Televisyen Trending, drama terbitan Astro, Setelah Terlafaznya Akad mendominasi carian Google diikuti Nur 2, dan Curi-Curi Cinta.
Bagi carian Individu pula, Datuk Seri Azmin Ali mendominasi kedudukan ahli politik paling dicari tahun ini.
Selain beliau, selebriti media sosial Indonesia, Vanessa Angel turut dicari pengguna Google di Malaysia selain Emma Maembong, Aliff Aziz dan juga Jung Joon Young.
Bagi topik berita pula, kata kunci ‘IPU’ atau Indeks Pencemaran Udara mencatat kedudukan tertinggi diikuti kata kunci ‘Tanjung Piai’, ‘Belanjawan 2020’ , ‘The Alley’ dan juga ‘Harga Minyak Petrol’ menjadi tumpuan pencari maklumat.
Selain itu, bagi kategori filem, isu yang dibangkitkan dalam filem Joker serta lakonan mantap Joaquin Phoenix menjadikan kata kunci filem ini berada di tangga teratas carian Google Malaysia 2019.
Ia diikuti dengan filem Captain Marvel, Avengers: Endgame, Alita Battle Angel dan Shazam.
Satu-satunya lagu Malaysia yang berada di lima carian tertinggi Google Malaysia kategori Muzik kali ini dibawakan oleh kumpulan dari Sabah, K-Clique dengan tajuk Mimpi.
Semestinya, trend masak-memasak menjadi bualan hangat sepanjang tahun ini sehinggakan Google Malaysia turut berkongsi carian resipi paling trending 2019.
‘Resipi Asam Pedas Melaka’ berada di kedudukan teratas diikuti dengan ‘Resipi Daging Masak Hitam’ , ‘Resipi Biskut Cornflakes’ , ‘Resipi Kari Ayam’ dan ‘Resipi Nasi Ayam’.
Ada yang menganggap data carian ini mungkin tidaklah popular seperti yang dibayangkan tetapi, inilah maklumat yang dikumpul pihak Google dan dikongsikan untuk pengetahuan umum.
Data ini juga amat menarik untuk dibincangkan kerana rata-rata hasil carian ini mewujudkan banyak peluang baru terutamanya kepada penyedia kandungan digital di Malaysia.
Sementara itu, Google Malaysia dalam satu majlis pada Rabu turut membawakan konsep 'pop kuiz' kepada wakil media yang hadir membuat liputan dan pasukan dari Astro AWANI berjaya menjuarai kuiz kali ini.
#Carian Google 2019 #Google Malaysia #Year In Search Google Malaysia 2019
;