Setelah cedera akibat mercun, sebahagian tangan kanan remaja ini terpaksa dipotong pula

Astro Awani
Mei 21, 2019 17:54 MYT
Pembedahan kecemasan amputasi itu terpaksa dilakukan ke atas Syafiq Haikal demi menyelamatkan pesakit. - Astro AWANI
Sebahagian tangan kanan seorang remaja lelaki yang juga mangsa mercun pertama di Terengganu, terpaksa dipotong.
Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu, Dr Mohd Jusoh, berkata mangsa telah menjalani pembedahan pada sekitar jam 10 pagi Selasa di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu.
Katanya, pembedahan kecemasan amputasi itu terpaksa dilakukan demi menyelamatkan pesakit.
Menurut Dr Mohd, kemungkinan juga pelajar yang berusia 13 tahun itu akan memakai tangan palsu.
Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan pada Selasa.
Pada Isnin lalu, pelajar tingkatan satu sebuah sekolah di Besut itu putus pergelangan tangan kanannya akibat terkena mercun.
Dalam kejadian kira-kira 5.30 petang itu, Syafiq Haikal Shaharrudin dilaporkan cedera parah di pergelangan tangan sebelah kanan dan kesemua jarinya putus.
Syafiq Haikal kini dilaporkan dalam keadaan stabil.
#cedera parah #Hospital Sultanah Nur Zahirah #HSNZ #kesihatan #main mercun #mangsa mercun #mangsa pertama di terengganu #syafiq haikal #tangan palsu #terengganu
;