"Setakat ini tiada kesan sampingan dialami" - Penerima awal suntikan vaksin COVID-19
Fauzi Suhaimi
Februari 24, 2021 15:28 MYT
Februari 24, 2021 15:28 MYT
PUTRAJAYA: "Tiada kesan sampingan dialami setakat ini."
Demikian luahan sebahagian petugas barisan hadapan yang menerima suntikan pertama vaksin COVID-19 hari ini.
Bagi mereka, vaksin yang diterima selamat untuk digunakan kepada semua pihak yang berada dalam senarai layak menerima.
Seorang penerima kumpulan pertama suntikan vaksin, Penolong Pegawai Perubatan, Khairul Asraf Mohd Yasin memberitahu, selepas menerima suntikan itu, keadaannya masih stabil dan normal.
“Alhamdulillah, saya berasa bangga menjadi antara kumpulan pertama menerima suntikan vaksin ini dan selepas mendapat suntikan itu, tiada alahan mahupun rasa pening.
“Saya berasa seperti biasa dan ini membuktikan vaksin ini selamat untuk digunakan kepada semua pihak,” katanya dalam sidang media di sini, pada Rabu.
Terdahulu Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah turut menerima suntikan dos pertama vaksin COVID-19 selepas melancarkan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan sekaligus menandakan bermulanya secara rasmi program imunisasi terbesar itu di seluruh negara.
Dalam masa sama, Perdana Menteri turut melancarkan pendaftaran vaksin melalui aplikasi MySejahtera untuk orang ramai mendaftar bagi menerima vaksin yang dibuka bermula hari ini.
Sementara itu, bagi Pegawai Perubatan, Dr Tan Yee Ling yang juga menerima suntikan itu berkata, dia kekal sihat meskipun mendapat suntikan vaksin berkenaan.
“Saya bersyukur kerana dipilih untuk menerima suntikan vaksin ini dan berharap agar program ini dapat membantu Malaysia daripada penularan wabak COVID-19,” ujarnya.
Meluahkan rasa sama, Pemandu Klinik Kesihatan, Clement Marai Francis menyeru agar rakyat Malaysia untuk mengambil vaksin itu demi kepentingan semua pihak.
“Vaksin ini selamat, saya sudah suntik dan tiada kesan sampingan. Rakyat boleh dapat suntikan ini untuk pastikan negara bebas daripada jangkitan COVID-19,” katanya.
Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan, bertemakan "Lindung Diri, Lindung Semua" itu dilaksanakan dalam tiga fasa bermula hari ini dengan Fasa 1 dari Februari hingga April 2021 untuk kumpulan petugas barisan hadapan melibatkan 500,000 orang.
#Muhyiddin Yassin
#Noor Hisham Abdullah
#Dr Noor Hisham Abdullah
#Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan
#vaksin
#COVID-19
#Perdana Menteri