Setakat ini, arak kekal barangan bukan bebas cukai di Pangkor
Bernama
Disember 19, 2019 20:05 MYT
Disember 19, 2019 20:05 MYT
Kerajaan negeri Perak setakat ini mengekalkan keputusan bahawa arak tidak tersenarai sebagai barang bebas cukai menjelang perisytiharan Pulau Pangkor sebagai pulau bebas cukai (PBC) menjelang 1 Januari 2020.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan negeri, Tan Kar Hing, bagaimanapun, tidak menolak kemungkinan, minuman keras disenaraikan sebagai satu daripada barangan bebas cukai pada masa akan datang.
"Setakat ini hanya arak sahaja tidak disenaraikan sebagai barangan bebas cukai tetapi tidak akan menolak kemungkinan pada masa akan datang kita (kerajaan negeri) akan libatkan sekali sebagai salah satu barangan bebas cukai.
"Jika ada permintaan yang munasabah kita akan kaji semula dasar tersebut atau jika tiada permintaan kita tidak akan benarkan sebagai barangan bebas cukai," katanya pada sidang media selepas menghadiri Program Promosi Destinasi Pelancongan Tempatan, 'Jelajah Persona Selangor, anjuran Tourism Selangor, di sebuah hotel di sini, hari ini.
Program tersebut dirasmikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pelancongan dan Kebudayaan, Peradaban Melayu dan Warisan negeri Selangor, Datuk Abdul Rashid Asari.
-- BERNAMA
#arak
#bebas cukai
#Kerajaan Negeri Perak
#pelancongan
#pulau bebas cukai
#Pulau Pangkor
#Tan Kar Hing