Setakat 4 petang, rumah Najib Razak masih digeledah - Polis

Isabelle Leong
Mei 17, 2018 16:06 MYT
Pemerhatian Astro AWANI, menunjukkan rumah bekas Perdana Menteri itu masih di bawah kawalan pihak polis. - Foto Astro AWANI
Setakat 4 petang tadi, kediaman bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak masih terus digeledah bagi mencari sebarang barangan peribadi milik beliau untuk disiasat.
Perkara itu telah disahkan oleh beberapa pegawai Polis DiRaja Malaysia (PDRM) yang mengawal diluar perkarangan rumah bekas Perdana Menteri tersebut.
Sementara itu, sebuah kereta yang didakwa dipandu oleh anak sulung lelaki, Datin Seri Rosmah Mansur kelihatan masuk ke kediaman mereka yang masih dibawah kawalan pihak PDRM.
Sebelum ini, Astro AWANI melaporkan bahawa peguam Najib Razak, Datuk Harpal Singh Grewal telah memberi pengesahan beberapa barangan peribadi beliau telah dirampas.
BACA: Polis rampas beg tangan, pakaian, hadiah dari kediaman Najib
Pencarian di kediaman Najib di Jalan Langgak Duta di Taman Duta bermula sekitar jam 10.15 malam tadi selepas Najib pulang dari menunaikan solat Terawih di Masjid Kampung Baru di ibu negara.
BACA: TERKINI! Polis sahkan geledah kediaman Najib
Setakat 2 pagi tadi, serbuan yang diketuai Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman itu bertujuan mencari dokumen berkaitan bagi membantu siasatan.
Pengarah JSJK Bukit Aman Datuk Seri Amar Singh Ishar Singh mengesahkan pihaknya menggeledah kediaman bekas perdana menteri itu di Taman Duta di sini malam tadi.
BACA: Kenapa halang saya jumpa rakan saya Datuk Seri Najib? - Rakan
#Amar Singh Ishar Singh #Harpal Singh Grewal #menteri #Najib Razak #Polis Diraja Malaysia #rumah #sebuan #Taman Duta
;