#SetahunMH370: MAS beri penghormatan untuk warga kerja MH370
Astro Awani
Mac 8, 2015 12:29 MYT
Mac 8, 2015 12:29 MYT
Malaysia Airlines (MAS) mengadakan majlis tertutup untuk mengingati 13 warga kerja yang hilang dalam penerbangan MH370 hilang ketika dalam perjalanan ke Beijing dari Kuala Lumpur satu tahun yang lalu.
Acara yang berlangsung di Akademi Malaysia Airlines, Kelana Jaya, telah dihadiri oleh 500 pekerja MAS dan 100 ahli keluarga.
Majlis tertutup itu diketuai pengerusi MAS Tan Sri Md Nor Yusof dan Ketua Pegawai Eksekutif Ahmad Jauhari Yahya.
Md Nor memulakan majlis dengan memberi penghormatan kepada mereka yang hilang.
LAYARI: Laman mikro #SETAHUNMH370
“Seperti yang kita semua tahu, tragedi MH370 adalah satu peristiwa unik yang belum pernah terjadi dan mempunyai rantaian dan tindak balas yang juga belum pernah dilakukan. Setahun sudah berlalu sejak 8 Mac 2014. Kami masih lagi belum dapat mencari penyelesaian.
“Pada hari ini, walaupun kita tidak berupaya menghadapi dan menerima realiti kejam bahawa hasrat hati kita tidak akan tercapai, kita berkumpul di sini untuk mengingati 13 rakan sekerja yang kita kasihi, yang telah meninggalkan kita apabila penerbangan MH370 hilang setahun yang lalu.” Katanya.
Ahmad Jauhari memberikan penghormatan kepada dedikasi pekerja syarikat penerbangan itu; atas usaha gigih dan sokongan mereka untuk syarikat penerbangan dan ahli keluarga penumpang.
“Walaupun MH370 adalah sebuah episod tragis yang menimpa kita semua, ia juga telah menonjolkan sifat terpuji yang wujud dalam Malaysia Airlines.
“Melihat kepada bagaimana seluruh organisasi bersatu dan membantu antara satu sama lain sebagai sebuah keluarga yang di dalam krisis, benar-benar mengagumkan saya,” katanya.
Hari ini, satu dunia memperingati tepat setahun kehilangan pesawat MH370.
Boeing 777-200ER membawa 239 penumpang, kebanyakannya daripada China, dan anak kapal, dijadualkan mendarat di Beijing pada pukul 6:30 pagi. Ia dipercayai telah berakhir di Lautan Hindi.
Jabatan Penerbangan Awam pada 29 Jan mengumumkan penerbangan MH370 secara rasmi diisytiharkan sebagai satu kemalangan di bawah peraturan penerbangan antarabangsa, dan bahawa semua 239 penumpang dan anak kapal telah dianggap telah kehilangan nyawa mereka.