Setahun tinggal tanpa permit, pendatang tanpa izin dicekup Imigresen

Bernama
Mac 16, 2024 17:30 MYT
Antara pendatang tanpa izin yang ditahan dalam Op Pintu di Rumah Pangsa Bercham, awal pagi hari ini. - Foto Bernama
IPOH: Setahun tinggal di negara ini tanpa permit dan bekerja sebagai tukang kemas rumah, pendatang tanpa izin yang dikenali sebagai Elriyanti, 50, akhirnya ditahan dalam satu serbuan di Rumah Pangsa Bercham di sini awal pagi tadi.
Wanita berasal dari Sumatera, Indonesia itu dicekup bersama 157 yang lain dalam operasi yang dinamakan Op Pintu hasil kerjasama Jabatan Imigresen Malaysia Perak dan anggota Pasukan Gerak Am Ulu Kinta yang bermula kira-kira 1 hingga 3 pagi itu.
Elriyanti, ibu kepada dua anak berusia 14 dan 16 tahun itu berkata sebelum ini dia bekerja di Pulau Pinang, namun atas bantuan rakannya dia berpindah ke Perak kira-kira sebulan lepas.
"Saya datang sini naik feri dengan bayaran RM3,000 kalau duit saya (rupiah Indonesia) 10 juta dan waktu itu turun di Port Dickson. Kemudian saya bekerja sebagai pengemas rumah dengan pendapatan RM2,000 sebulan," katanya ketika ditemu bual selepas ditahan.
Menurut Elriyanti dia akan mengirim wang sebanyak RM600 sebulan kepada keluarganya di kampung dan membayar RM80 sebulan untuk sewa rumah yang diduduki bersama tiga lagi rakan senegaranya.
Dia mengakui memilih untuk ke Malaysia kerana mudah mendapatkan pekerjaan selain faktor bahasa dan budaya yang hampir sama.
Sementara itu Pengarah Imigresen Perak Meor Hezbullah Meor Abd Malik dalam sidang media berkata sebanyak 358 pendatang tanpa izin diperiksa dengan 158 daripadanya ditahan kerana tinggal di Malaysia tanpa pas/permit yang sah dan tinggal melebihi tempoh dibenarkan.
Beliau berkata mereka yang ditahan terdiri daripada 83 lelaki, 54 wanita, 8 kanak-kanak lelaki dan 3 kanak-kanak perempuan yang berusia antara 9 dan 60 tahun.
"Mereka terdiri daripada warga Indonesia, Nepal, Myanmar, Bangladesh, China, Pakistan, Sri Lanka dan Vietnam.
"Kebanyakan mereka ini menyewa di rumah pangsa ini daripada pemilik warga tempatan," katanya sambil menambah kira-kira 560 unit rumah diperiksa melibatkan 15 blok dalam serbuan itu.
Dalam pada itu Meor Hezbullah memberi peringatan kepada pemilik rumah warga tempatan supaya tidak menyewakan unit rumah mereka kepada pendatang tanpa izin .
Menurutnya ini kerana tindakan tersebut boleh menyebabkan mereka didakwa di bawah Seksyen 55 (E) Akta Imigresen 1959/63 yang membawa hukuman denda maksimum RM30,000 atau penjara hingga 12 bulan atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Meor berkata bagi kes tangkapan malam tadi, pihaknya akan menyiasat setiap pemilik rumah yang menyewakan unit mereka kepada pendatang asing berkenaan.
Dalam serbuan dengan kekuatan kira-kira 160 anggota itu, ada antara pendatang tanpa izin yang enggan membuka pintu walaupun diketuk berkali-kali hingga memaksa anggota terlibat memotong kunci dan memecah masuk kediaman yang disyaki terdapat warga asing di dalamnya.
Ada pendatang tanpa izin yang cuba menyembunyikan diri dengan mengunci diri dalam bilik atau bersembunyi dalam stor.
-- BERNAMA
#pendatang tanpa izin #Rumah Pangsa Bercham #jabatan imigresen #tinggal di Malaysia tanpa pas sah
;