Setahun PKP: Perlu kajian impak, elak SOP syok sendiri - Pakar psikologi
Harits Asyraf Hasnan
Mac 18, 2021 15:04 MYT
Mac 18, 2021 15:04 MYT
KUALA LUMPUR: Setahun pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kerajaan disaran melakukan kajian impak terhadap keberkesanan mesej serta penyampaian berkait pematuhan prosedur operasi standard (SOP).
Timbalan Dekan (Penyelidikan & Inovasi), Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia (UPM), Profesor Dr. Haslinda Abdullah berkata kajian itu penting dalam memastikan segala pelaksanaan SOP adalah bersasar.
"Apabila kita hendak bercakap berkenaan keberkesanan, adakah kita sudah buat kajian impak? Saya rasa perlu kerana kita nak tengok apa yang telah kita buat selama ini.
"Sama ada kita syok sendiri, selepas itu kita pelik kenapa orang ramai masih tidak ikut arahan SOP. Apabila kita buat kajian impak, kita akan tahu siapa golongan sasar atau orang yang tidak dengar cakap ini.
"Contohnya seperti mereka yang pergi majlis, golongan muda, orang pergi rumah ibadah kemudian ada majlis makan dan sebagainya. Jadi, apabila kita membuat pencegahan, dasar atau SOP, ia akan lebih bersasar," katanya ketika ditemu bual Astro AWANI.
Semalam, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kerajaan mungkin tidak akan melaksanakan PKP secara menyeluruh selepas ini, sebaliknya melaksanakan strategi kawalan penularan COVID-19 secara lebih bersasar dengan bersandarkan sains dan data untuk mengurangkan impak negatif terhadap ekonomi negara.
Jelasnya, dari sudut psikologi manusia, tempoh satu tahun adalah normal untuk seseorang itu berasa penat dengan sesuatu arahan atau ketetapan yang perlu mengubah normal kehidupan mereka.
Bagaimanapun, Dr Haslinda menegaskan dalam situasi COVID-19 yang mengancam nyawa, manusia tidak mempunyai pilihan lain kecuali kekal positif dan mengadaptasi sepenuhnya norma baharu dalam rutin harian.
"Kita kena betulkan fikiran kita, membiasakan diri dengan perkara yang betul dan membetulkan perkara yang sudah biasa kita buat.
"Apabila kita cakap berkenaan 'penat' mematuhi SOP (SOP fatigue) dan sebagainya, saya berasakan kita sendiri yang patut ubah cara kita fikir supaya kita lihat perkara ini sesuatu yang positif.
"Jadi kita boleh cerna perkara itu, supaya ia menjadi satu rutin yang tidak perlu kita pertikaikan lagi," katanya.
Justeru, beliau berharap rakyat Malaysia kekal positif dan mematuhi segala SOP yang ditetapkan bagi memastikan peperangan melawan COVID-19 mencapai kejayaan.
#perintah kawalan pergerakan
#PKP
#COVID-19
#Fakulti Ekologi Manusia
#SOP
#psikologi manusia
#pematuhan SOP
#gagal patuh SOP
#Setahun PKP